IPOH – Minuman keras dan rokok mungkin dikecualikan daripada senarai item atau barangan yang akan menikmati bebas cukai di Pulau Pangkor, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengakui setuju dengan cadangan kerajaan terdahulu agar dua barangan itu dikecualikan, Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, perkara tersebut sedang diperincikan menjelang pewartaan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Januari 2020.
“Saya berpandangan sama bahawa pembangunan industri pelancongan Pangkor perlu dijaga dengan baik supaya sesuai untuk pelancongan dan keluarga.
“Senarai barangan untuk dikecualikan sekarang kerajaan negeri sedang perincikan. Kami akan tentukan perkara itu (pengecualian arak dan rokok) diberi keutamaan dalam perincian itu…kami sependapat,” katanya semasa sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Ahmad Faizal menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) yang ingin tahu adakah cadangan asal untuk mengecualikan rokok dan arak di pulau peranginan itu dikekalkan.