PENYANYI dan komposer, Asfan Shah berkata, dia sentiasa terbuka bekerjasama dengan penyanyi yang ingin dapat khidmatnya, namun tidak menjanjikan karya itu akan memacu nama mereka.
Asfan atau nama sebenarnya, Norasfan Shah Shah Rudin, 33, berkata, dia tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang kerana bimbang dikatakan dikatakan memberi harapan palsu.
“Saya terbuka jika ada penyanyi yang ingin mendapatkan karya saya, namun saya tidak berani menjanjikan sesuatu yang belum pasti. Contohnya sama ada lagu itu akan diterima sebagai runut bunyi drama atau sebaliknya.
“Ia di luar bidang kuasa kerana sebagai pengkarya, saya hanya bertanggungjawab terhadap lagu yang dihasilkan. Dalam hal ini, saya memilih untuk berterus terang kerana tidak mahu memberikan harapan palsu.
“Mungkin juga kebetulan apabila beberapa lagu ciptaan dan nyanyian saya sebelum ini dijadikan runut bunyi drama. Saya anggap itu sebagai bonus kerana ia turut bantu dari segi promosi dan membuatkan orang lebih kenali saya,” katanya.
Asfan sebelum ini, bawa pulang trofi Lagu Tema Pilihan, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018(DFKL2018) menerusi kejayaan karyanya, Sumpah Cintaku yang menjadi lagu latar drama bersiri, Titian Cinta.
Dia yang semakin selesa bekerjasama dengan penulis lirik, Fedtri Yahya kini dalam proses menyiapkan lagu untuk dua penyanyi popular tempatan.
“Selain giat mempromosikan single terbaharu, Fatamorgana Cinta, saya turut menghasilkan lagu untuk penyanyi ‘otai’, Deja Moss dan seorang artis lain. Kebanyakan masa saya diperuntukkan di studio hingga perancangan menyiapkan album solo sendiri tertangguh hampir dua tahun.
“Saya bukan seperti selebriti lain yang mempunyai perniagaan, sebaliknya hanya memberi fokus kepada bidang seni. Saya juga giat mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan dalam bidang nyanyian,” kata Asfan. – BH ONLINE