SELEPAS kelahiran anak yang ketiga, kehidupan penyanyi Asfan Shah kini sudah berubah yang mana dia perlu bijak mengatur masa dan jadual kerjayanya.
Baca: Lama Menanti, Akhirnya Fad Dan Asfan Timang Anak Ke-3
Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah bin Shah Rudin yang kini baru sahaja mengeluarkan single baharu, Sumpah Cintaku mengakui dia kini makin sibuk menguruskan dua tanggungjawab serentak iaitu membantu isteri menjaga anak-anak dan mempromosikan lagu barunya itu.
“Semuanya berlaku serentak iaitu promosi single baharu dan dikurniakan anak ketiga, Ali Binyameen Shah. Kalau diikutkan, memang jadual promosi sudah ada.
“Namun, sejak awal lagi, saya dan pihak pengurusan sudah memperincikan pelan B. Rasanya, setakat ini semuanya lancar kerana saya masih dapat membantu apa yang patut sebelum keluar bekerja,” katanya dipetik daripada BH Online.
Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, dia kini semakin bijak mengurus masa dan akan memastikan sebelum keluar bekerja, dia akan menyiapkan keperluan anak-anaknya terlebih dahulu.
Disebabkan dua orang lagi anaknya iaitu Ali Haytham Shah, 4, dan Ali Wakeel Shah, 2, masih lagi kecil, dia perlu bijak melayan mereka dalam masa isterinya, Ain Sakinah razali, 30, masih lagi dalam tempoh berpantang.
“Ada kalanya anak-anak yang masih kecil ini meragam dan mahu mengikut saya bekerja.
“Bagi saya tiada masalah kerana pada masa sama kami dapat menghabiskan masa berkualiti,” tambahnnya lagi.
Selain itu, Asfan turut memahami keadaan isterinya yang kini memerlukan rehat yang banyak.
Oleh sebab itu, dia sering membawa dua lagi anaknya ke mana-mana sahaja termasuk ke sesi fotografi.
“Sebagai anak yang belum memahami apa-apa, mereka mungkin terasa perhatian sudah beralih kepada si kecil.
“Jadi membawa mereka keluar antara cara menunjukkan kasih sayang kami yang tidak berkurang sekelumit pun,” ujar Asfan lagi.
Lepas anak dah bertambah ni pasti banyak yang perlu diuruskan lebih-lebih lagi pengurusan rumah tangga. Tak mengapalah, anak itu kan rezeki daripada Allah S.W.T. – MYNEWSHUB.CC/AH