ARTIS kelahiran sebuah program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar seolah-olah kehadirannya sepi dari dunia industri seni tanah air walaupun memiliki bakat yang versatil.
Pelantun yang pernah melonjak naik dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang suatu ketika dahulu memberitahu sebuah portal bahawa dia sekarang telah bergerak secara solo.
Asmidar atau Norasmidar Ahmad pernah bernaung di bawah rakaman Warner Music Malaysia namun kontraknya telah tamat pada pertengahan tahun lalu.
“Sebenarnya saya sudah keluar dari Warner Music sejak tahun lalu dan merancang untuk bergerak sendiri. Hakikatnya, saya akui bahawa ia tidak semudah yang disangkakan.
“Selepas tamat kontrak, ada juga beberapa tawaran untuk bekerja di bawah label mereka, tapi kena pilih dengan teliti juga,” katanya.
Namun penyanyi berusia 30 tahun ini akui menguruskan kerjaya secara solo memang mencabar dan banyak yang harus dipelajari.
“Tak dinafikan, tanpa pertolongan orang dalam industri seperti Warner Music, PR, TV3, RTM, dan media, agak susah untuk bergerak. Jadi saya banyak juga belajar sendiri. Bila bergerak solo, pergerakan agak perlahan sedikit.”
Asmidar yang pernah merangkul gelaran juara di dalam beberapa siri pertandingan yang disertai tidak berkecil hati walaupun dirinya tidak dikenali ramai.
Jelasnya lagi, penglibatan di dalam industri ini adalah kerana minatnya dan bukanlah untuk mencari populariti ataupun kekayaan. Dia akur dengan rezeki yang tertulis untuk dirinya.
“Sejujurnya saya tidak kisah seandainya bakat saya tidak diiktiraf kerana penglibatan saya dalam arena seni suara ini sebab minat dan mahu mencari rezeki.
“Jadi, kalau orang tidak kenal pun tidak mengapa, tidak mengharap lebih malah bersyukur dengan rezeki sekarang dan bakat yang dipinjamkan ini, ia satu bonus untuk saya,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC