KARNATAKA, India – Seorang penternak berjaya merakam video seekor ayam yang dipelihara menyerang dan menelan anak ular tedung secara hidup-hidup di belakang rumahnya di India baru-baru ini.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Hukeri dari bandar Kalaburagi di sini itu pada mulanya khuatir tentang keselamatan keluarga dan ayam ternakan selepas menyedari kehadiran seekor anak ular di taman di belakang rumahnya.
Pada mulanya, dia menyangka ayam-ayam ternakan akan lari ketakutan. Hukeri segera mengambil sebuah kamera video dan merakam aksi salah seekor ayam yang bertindak menyerang anak ular itu sebelum menelannya.
Anak ular itu dilihat cuba melarikan diri dan cuba melawan walaupun separuh badannya sudah ditelan ayam berkenaan.
Ayam itu kemudian berlalu pergi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, meninggalkan Hukeri dan beberapa penonton lain tergamam menyaksikan kejadian tersebut. – Agensi/Kosmo Online