SEJAK kebelakangan ini semakin ramai pelakon senior dilihat semakin lantang mengkritik kehadiran pelakon-pelakon baharu yang kebanyakannya disifatkan kayu dan tidak berbakat oleh mereka.
Terbaharu, bertitik tolak daripada isu itu, seorang pengarah berpengalaman, Aziz M. Osman baru-baru ini ada menulis satu twit sinis seolah-olah ditujukan buat pelakon-pelakon lama yang sering kali mengkritik artis-artis baharu.
“Cuma mampu senyum pelakon lama kutuk pelakon baru. Padahal dulu dia pun sama,” tulis pengarah drama Puteri itu di laman Twitternya.
Tak tahulah twit itu sekadar bersifat general ataupun memang abang Aziz kita ni nak tujukan kepada seseorang yang mungkin berada di mindanya.
Terdahulu, pelakon Que Haidar ada mengeluarkan kenyataan menggesa pelakon-pelakon baharu agar menghadiri kelas lakonan agar tidak ‘membanyakkan’ lagi ‘sampah-sampah’ dalam industri hiburan sedia ada.
Pemegang title Pelakon Filem Lelaki Popular 2008 dan 2009 Anugerah Bintang Popular (ABP) ini turut mencadangkan pihak Seniman seharusnya mewajibkan kelas lakonan anjuran Finas ini kepada semua pelakon baharu.
Baca: Que Haidar ‘Sound’ Pelakon ‘Kayu’ Join Kelas Lakonan
“Kalau saya nak cadangkan ke Persatuan Seniman supaya buat meeting dan menyenaraikan semua pelakon baru yang ‘kayu’ supaya wajib menghadirkan diri ke kelas lakonan anjuran Finas.
“Jika tidak hadir atau kehadiran tidak lengkap, mereka tidak dibenarkan shooting,” katanya.
Tambahnya lagi, cadangan ini juga sebagai garis panduan kepada stesen televisyen, penerbit dan juga pengarah yang terlalu mementingkan nilai komersial seseorang pelakon itu termasuk paras rupa dan juga jumlah pengikut di laman sosial.
Que juga berkata cadangan ini harus dibuat untuk memberi peluang atau ruang kepada mereka yang betul-betul berbakat tetapi tidak diketengahkan.
Apa yang Que cakap ini ada kebenarannya. Penyelesaian seperti menghadiri kelas lakonan merupakan salah satu inisiatif yang boleh diaplikasikan para pelakon untuk mengasah lagi bakat lakonan dalam diri mereka.
Yelah, sebabnya kalau diperhatikan di laman Twitter, memang ramai pelakon yang berasakan lakonan mereka gred A sering kali memerli dan mengkritik pelakon-pelakon baharu yang semakin hari semakin mendapat perhatian penonton drama Melayu.
Jika hendak sama-sama memajukan industri lakonan tanah air, rasanya tak perlu kot insiden perli-memerli dalam laman sosial, sebaliknya cuba cari jalan penyelesaian bagaimana mahu menggembangkan lagi lakonan masing-masing daripada mencari kelemahan orang-orang tertentu. Bukan begitu? – MYNEWSHUB.CC