Saturday, January 11, 2025

Creating liberating content

9 Pendaki Terkandas Di...

KUCHING - Pasukan penyelamat berjaya membawa turun sembilan pendaki yang terperangkap di Gunung...

Piala AFC: JDT Tewaskan...

JOHOR BAHRU - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan...

Kanak-Kanak Mangsa Tebusan Stabil...

KOTA KINABALU - Kanak-kanak perempuan yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di sebuah...

Murid Tahun Satu Patah...

HULU SELANGOR - Seorang murid Tahun Satu cedera selepas digilis pacuan empat ronda...

Badang Memang Wujud, Tidak Makan Muntah Hantu

KESAN tinggalan dan bukti yang boleh dikaitkan dengan kekuatan Badang di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Johor menguatkan lagi kewujudan legenda orang kuat Melayu tersebut.

Akhbar tempatan BH meneruskan usaha kumpul maklumat mengenai latar belakang Badang daripada pakar sejarah dan dokumentasi tempatan yang pernah dihasilkan berkaitan kisah legenda pahlawan berkenaan.

Kurator Muzium Kota Tinggi, Mohd Azlan Hafiz Mohti, berkata mengikut Sejarah Melayu, Badang dikenali sebagai hulubalang kerajaan Temasik (kini Singapura) ketiga, Raja Seri Rana Wikerma iaitu antara tahun 1362 hingga 1375.

Katanya, Badang berasal dari Sayong iaitu hulu Sungai Johor dan bekerja di ladang kepunyaan seorang tuan tanah ternama iaitu Orang Kaya Nira Sura di Seluang, tidak jauh dari kawasan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

“Badang disifatkan sebagai anak muda yang berkebolehan istimewa, dengan watak gagah sebagai panglima tetapi badannya pula tidak begitu besar dan tidak pernah berubah menjadi terlalu besar ketika beradu kekuatan.

“Kepahlawanannya berbeza dengan pahlawan Melayu lain tetapi persamaannya beliau secara rasmi dilantik sebagai hulubalang kerajaan. Badang tidak pernah terbabit dalam siri peperangan dan tidak guna sebarang senjata.

“Sebaliknya kekuatan beliau adalah luar biasa dan semula jadi,” katanya. Beberapa kisah kesaktian Badang juga jadi bualan, antaranya kehebatan beliau dayung sampannya sekali hayun, sampannya bergerak sampai ke lokasi jauh.

“Mengenai kematian Badang, diceritakan sama seperti orang biasa lain kerana sakit tua dan kuburnya terdapat di sebuah kawasan hutan di pinggir Desa Kandis, Pulau Buru di Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Kota Tinggi, Amad Bahri Mardi, berkata ada empat kisah Badang yang berbeza dan sering diceritakan kepada umum pada ketika ini.

“Kisah pertama ialah ketika Raja Seri Rana Wikerma suruh Badang memetik daun kuras di Kuala Sayong untuk dijadikan ulaman bagi santapan baginda, Badang berjaya mengambil daun berkenaan walaupun tugasnya sukar.

“Namun, Badang terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak pada sebiji batu besar. Badang tidak cedera sebaliknya batu berkenaan terbelah dua. Atas ujian itu, beliau diberi penghargaan oleh raja dengan satu persalinan pakaian.


“Beliau kemudian dibenarkan tinggal di kawasan kota, tidak jauh dari istana,” kata Amad Bahri. Dalam satu lagi peristiwa, Badang pernah bantu 300 pemuda yang gagal tolak kapal ke laut dengan hanya sebelah tangannya.

Raja begitu kagum dan melantiknya menjadi Hulubalang Diraja. Kisah ketiga adalah ketika Singapura didatangi satu utusan dari benua India berserta 70 kapal untuk menguji kekuatan Badang dengan hulubalangnya, Nadi Bijaya.

“Dalam pertandingan itu, kedua-dua hulubalang kerajaan itu mendapat keputusan seri. Nadi Bijaya kemudian mencadangkan siapa yang dapat mengangkat batu besar berhampiran istana akan menjadi pemenang.

“Nadi Bijaya hanya mampu mengangkat batu itu sehingga paras lutut sebelum meletakkannya kembali ke tanah, namun Badang berjaya mengangkat batu itu melebihi paras kepala sebelum melemparkannya ke laut,” katanya.

Beliau berkata, kisah keempat adalah ketika pahlawan kerajaan Perlak yang kini terletak di Sumatera, Indonesia, Benderang tidak sanggup beradu kekuatan dengan Badang kerana menyedari Badang jauh lebih kuat daripadanya.

“Seorang ahli sejarah Riau, Indonesia, Syarif Muhammad Salleh, pernah mengatakan kehebatan Badang memang tidak boleh dinafikan, tetapi perbuatan makan muntah hantu disifatkan sebagai merosakkan citra pahlawan Melayu.

“Kata Syarif, kisah Badang diubah pihak Barat untuk beri gambaran buruk kepada sikap orang Melayu zaman dahulu tetapi beliau mahu masyarakat Melayu percaya bahawa kisah Badang bukan cerita dongeng,” katanya.

INFO:
– Badang dilantik Hulubalang Diraja ketika zaman pemerintahan kerajaan Temasik ketiga (1362-1375).
– Berasal dari Sayong (hulu Sungai Johor), ada juga mendakwa Badang berasal dari Sungai Sisek juga di hulu Sungai Johor.
– Kuburnya wujud dan terletak di Pulau Buru, Karimun, Indonesia.

Sumber: Harian Metro

Kategori