IPOH – Bandar Meru Raya di sini akan dibangunkan menjadi Bandar Pintar dalam masa terdekat, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Beliau berkata ini kerana bandar itu dilengkapi infrastruktur seperti gentian optik bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi selain mempunyai kompleks pentadbiran kerajaan serta berhampiran dengan lebuh raya.
“Bandar Meru Raya sudah ada infrastruktur untuk ke arah smart city, cuma perlu ditambah nilai dengan memperbanyakkan bilangan penggiat bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membuka operasi di sini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Teknologi Digital Asia Pasifik (APDiTS) 2018 dan Pameran Teknologi Digital Antarabangsa di sini hari ini.
Simposium dan pameran yang berlangsung di Casuarina@Meru di sini mengumpulkan buah fikiran pemain industri digital tempatan dan antarabangsa dalam mencari jalan untuk merapatkan jurang digital di Perak.
Simposium sehari itu adalah usaha strategik KPerak Inc. bersama-sama Gabungan Penyedia-Penyedia Perkhidmatan Malaysia dan Dewan Perniagaan & Perindustrian Melayu Malaysia Perak.
Mengulas lanjut, Hasnul Zulkarnain berharap Meru Raya dapat berperanan sebagai pusat Bandar Pintar di Perak sebagaimana Cyberjaya di Selangor yang menjadi pusat kepada MSC Malaysia.
“Smart city yang dimaksudkan adalah memudahkan kehidupan masyarakat seperti membeli barang, berinteraksi dengan pegawai kerajaan secara dalam talian,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Hasnul berkata Meru Raya dipilih memandangkan ia kawasan perbandaran baharu diwartakan sebagai sebuah pusat siber berdaftar yang sedang membangun dengan pesat selain perancangan pembangunan mengikut kriteria yang ditetapkan oleh MSC Malaysia.
“Saya mengalu-alukan semua syarikat yang terfokus kepada teknologi digital, ICT dan Multimedia selain mempromosikan teknologi hijab dan berinovasi tinggi agar mengambil peluang ini untuk membuka ibu pejabat atau cawangan mereka di Meru Raya,” katanya. – BERNAMA