LARIS… Jenama mi segera terkenal yang berasal dari Indonesia, Indomie boleh dikatakan antara jenama produk makanan ringkas paling popular, terutama sekali di rantau Asia Tenggara.
Namun produk ini juga begitu laris di penjara Australia sehinggakan stesen Nine News di Melbourne melaporkan bahawa pemerintah di Victoria belanja lebih A$500,000 (RM1.5 juta) untuk bekalan Indomie selama dua tahun.
Mungkin ini buat ramai tertanya-tanya apa dibuat dengan mi segera begitu banyak itu? Menurut laman sesawang tempatan Mashable, ia disimpan di penjara bersama pelbagai kudapan dan jajan lain untuk dijual kepada banduan.
Tahanan tersebut lazimnya menggunakan hasil pendapatan daripada kerja-kerja mereka lakukan semasa di dalam penjara untuk beli barang keperluan harian tanpa harap sumber kewangan daripada ahli keluarga yang lawat.
Menurut Mashable lagi, mi segera memang sekian lama menjadi sebahagian budaya kehidupan di sesetengah penjara tempatan tidak kira latar belakang banduan kerana makanan ini mudah disediakan mereka dengan pantas.
Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, penghuni penjara amat menghargai mi segera tersebut sehingga ia diibaratkan sebagai satu bentuk mata wang dalam penjara – waima lebih berharga nilainya daripada harga sebatang rokok.
Namun tidak semua orang bersetuju dengan langkah pembelian Indomie atau snek ringan yang begitu banyak bagi kalangan banduan antaranya John Pesutto, Penolong Peguam Negara dipetik komen oleh media tempatan,
“Daniel Andrews sepatutnya jaga penjara,” sambil merujuk penjaga sistem penjara wilayah Victoria. “Beliau bukan Willy Wonka yang urus kilang coklat. Satu juta dolar untuk gula-gula macam filem pula?” soalnya dalam nada sinis.
Meskipun demikian, sistem pemberian banduan dengan kerja-kerja di dalam penjara tempatan sebagai inisiatif pembangunan perwatakan tahanan disokong banyak pihak, terutamanya badan pejuang hak asasi banduan.
“Ini adalah aspek penting untuk memastikan mereka ingin bekerja dan belajar bagaimana untuk rancang kewangan dengan betul, dan ia merupakan sebahagian daripada mekanisme pengurusan penjara dan jel,” kata Brett Collins.
Beliau dari kumpulan Prisoners Action Group malah memberitahu Nine News, kaedah itu lebih praktikal daripada banduan berkurung dalam bilik tanpa berbuat apa-apa selain pupuk hubungan sosial dengan tahanan yang lain.
Jenama Indomie diperkenalkan PT Indofood Sukses Makmur Tbk sejak 1982 juga popular di lebih 100 buah negara meliputi AS, benua Eropah, sehingga ke Afrika selain sebahagian besar Asia sendiri termasuk rantau Asia Barat.
Menurut portal berita antarabangsa The Economist, syarikat ditubuhkan pada 1972 itu sendiri ialah pengeluar mi segera terbesar di dunia dengan 16 kilang dan 15 bilion bungkusan Indomie setiap tahun. – Agensi/Mynewshub.TV