KUALA LUMPUR – Pegawai Kedutaan Besar Korea Utara telah dilarang daripada meninggalkan bangunan pejabat canseri itu di Bukit Damansara, lapor portal berita tempatan hari ini.
Pasukan polis dilihat mengawal ketat dan menyekat semua jalan keluar masuk ke bangunan kedutaan dari kedua-dua arah selain memasang tali garisan polis berwarna kuning di hadapan pintu pagar premis tersebut.
Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, sekatan itu bersifat sementara untuk mengenal pasti jumlah pegawai dan kakitangan kedutaan secara fizikal.
Baca: Restoran Pyongyang ‘Lubuk’ Ejen Korea Utara 20 Tahun
Bagaimanapun, pihak Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen ujar beliau, mempunyai rekod mengenai butiran maklumat diri mereka di sini sebagai petugas rasmi misi diplomatik sesebuah negara asing.
“Sekatan ini hanya bersifat sementara waktu untuk mengenal pasti mereka secara fizikal. Pegawai dan staf kita di Korea Utara juga telah disekat untuk keluar dari kedutaan,” kata Nur Jazlan.
Bangunan canseri negara rejim komunis itu menjadi tumpuan petugas media tempatan dan antarabangsa sejak pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu.
Kedutaan Besar Korea Utara dibuka di Kuala Lumpur pada 2003 bersama-sama Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik mulai 1973. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA