TEL AVIV – Bekas Presiden Israel, Shimon Peres yang menderita penyakit angin ahmar akhirnya disahkan meninggal dunia di sini hari ini dalam usia mencecah 93 tahun, lapor agensi berita Ynet.
Pemimpin rejim Zionis itu dimasukkan ke sebuah hospital setelah diserang strok pada malam 13 September lalu dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Chaim Sheba, Tel Hashomer di luar ibu kota Tel Aviv untuk rawatan segera.
Para doktor pakar tempatan telah memutuskan untuk tidak melakukan sebarang pembedahan ke atas Peres kerana bimbang risiko tinggi mendiang mungkin tidak mampu bertahan lagi ketika menjalani prosedur tersebut.
Rafi Walden, menantu Peres yang juga merangkap sebagai doktor peribadi kepada beliau berkata, angin ahmar dikesan sudah berjaya menyerang bahagian otak kanan bapa mertuanya itu sejak lebih dua minggu lalu.
Peres antara pengasas negara haram Israel pada 1940-an, telah berkhidmat sebagai perdana menteri dan merupakan seorang daripada pemimpin yang memeterai Perjanjian Damai Oslo 1994 dengan pihak Palestin.
Susulan kejayaan perjanjian aneh tersebut hasil rundingan secara rahsia dengan bekas raja Jordan, Almarhum Raja Hussein, beliau menerima Anugerah Nobel Keamanan pada 1994 bersama-sama pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Dilahirkan dengan nama Syzmon Perski, Peres berhijrah bersama-sama keluarganya ke Palestin dari Poland pada 1934 dalam usia 11 tahun sebelum berkahwin dengan Sonya Gelman pada 1945 dan dikurniakan tiga anak.
Bakatnya digilap oleh perdana menteri Israel pertama, Ben Gurion pada 1948 dan cemerlang berkhidmat di sebalik tabir ketika perang dengan negara-negara Arab sehingga dilantik sebagai menteri pertahanan rejim Zionis.
Mendiang kemudian dipilih sebagai Ahli Parlimen Israel pada 1959 dan mampu bertahan selama 48 tahun dalam karier politik untuk melakar sejarah menjadi wakil rakyat bagi tempoh paling lama dalam sejarah Israel.
Negarawan veteran tersebut pernah menjadi presiden kesembilan negara haram Yahudi Zionis itu dari 2007 hingga 2014, sekali gus mencipta rekod sebagai pemimpin negara yang berkhidmat dalam usia paling tua di dunia.
Selepas itu, beliau terus aktif dalam lingkungan awam menerusi aktiviti Pusat Keamanan Peres dan menyokong kewujudan bersama serta pelan perdamaian antara masyarakat Yahudi dan Arab di rantau Timur Tengah.
Peres kelihatan semakin pulih namun pada 27 September lalu, kesihatannya dilaporkan secara tiba-tiba mulai merosot. Maklumat lanjut berhubung pengebumiannya tidak dimaklumkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA