JAKARTA – Netizen Indonesia sejak minggu lalu kecoh dengan berita kononnya Walt Disney Parks and Resort Worldwide bakal membuka sebuah taman tema Disneyland di negara Asia tenggara itu.
Ia dirancang akan dibangunkan dengan nilai pelaburan 6 trilion rupiah (kira-kira RM1.9 bilion) di Boyolali, wilayah Jawa Tengah iaitu kira-kira 536 kilometer dari ibu kota Jakarta dan hanya 73 kilometer dari Yogyajarta.
Berita tersebut pada awalnya dinyatakan oleh bupati atau ketua daerah Boyolali, Drs. Seno Samodro pada 13 April lalu yang kemudian dilaporkan pula oleh sebuah akhbar edisi tempatan dalam keluaran Sabtu minggu lepas.
Beliau dilaporkan berkata bahawa Disneyland Boyolali dijangka dimajukan pada 1 September depan dan juga menyebut sepasukan pegawai The Walt Disney Company ketika ini sudah melakukan kajian keberkesanan di situ.
Laporan ringkas akhbar tersebut segera dipetik pelbagai media nasional sekali gus mencetuskan tular menerusi media sosial. Lebih lucu, beberapa media massa arus perdana turut menghubungi Seno untuk pengesahan.
Bukan itu sahaja, pihak pemerintah pusat termasuk Istana Negara di sini juga diminta media untuk memberi ulasan tentang hasrat pembangunan taman hiburan bertema tersebut yang julung kali dibina di rantau Asia tenggara.
Setakat ini, Disneyland selain taman induknya di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS), ia hanya ada cawangan di Florida, juga di AS di samping Paris, Perancis; Tokyo, Jepun; Hong Kong dan terkini Shanghai, China.
Malahan di Asia tenggara, taman tema Barat cuma terdapat di Legoland, Johor, Malaysia dan Universal Studios, Sentosa, Singapura manakala yang lain pula adalah lebih bersifat taman hiburan domestik semata-mata.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung turut memberi komentar dan berkata bahawa jika pihak Disneyland berhasrat membangunkan Bayolali, ia dijangka memberikan dampak positif bagi ekonomi daerah persekitaran.
“Disneyland ini kan investasi (pelaburan) yang cukup besar modalnya. Kita (pihak pemerintah) sangat terbuka. Jadi kalau memang benar, ya Alhamdulilah,” ujarnya sekali gus mencetuskan sensasi dalam kalangan rakyat Indonesia.
Namun, laporan tersebut sebenarnya berita palsu setelah pihak The Walt Disney Company mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan ada menyatakan hasrat membangunkan projek Disneyland di mana-mana lokasi di Indonesia.
“Meskipun Indonesia merupakan pasaran utama The Walt Disney Company di Asia Tenggara kami tidak memiliki rancangan untuk membuka Disneyland di Indonesia ketika ini,” kata Pengarah Eksekutifnya, Sesha Kanthamraju.
Syarikat pengurusan taman tema terbesar dunia itu pernah merancang membuka Disneyland di beberapa negara sebelum ini namun dibatalkan ekoran bantahan penduduk, perintah mahkamah dan laporan kajian potensi negatif.
Ini termasuk antaranya di Sydney, Australia dan Haifa, Israel selain beberapa lokasi di AS sendiri. Justeru, ia kini lebih menumpukan usaha untuk menambah baik taman yang sedia ada beroperasi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA