Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Hilang Ribuan Followers, IG...

SEBELUM ini, pelakon Izreen Asminda meluahkan kemarahannya apabila akaun Instagramnya digodam dan kini,...

MH17: “5 Tahun Kami...

KUALA LUMPUR - Penantian anggota keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang...

Polis Sedia Bantu JIM...

Kuala Lumpur : Polis Kuala Lumpur bersedia membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan...

Abang Gelar Mariah Carey...

Kaya tapi kedekut, umpama ahli sihir. Ia adalah gelaran yang diberikan oleh abang...

Brunei Perkasa Sistem Beraja Daulat Islam

BANDAR SERI BEGAWAN – Berbeza negara jirannya kecoh dengan tekanan penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu hapus sistem beraja kerana konon dianggap kolot, lain hal di Brunei.

Media antarabangsa melaporkan rakyat negara terkecil di Borneo itu tetap teguh pertahan Sultan Hassanal Bolkiah sempena Hari Keputeraan Ke-72 Tahun baginda, semalam yang disambut dengan cukup meriah di seluruh Brunei.

Penduduk di negara itu malah melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana mengurniakan Sultan Brunei berjiwa rakyat dalam memayungi kedaulatan institusi beraja bertunjangkan ajaran Islam yang wujud sejak abad ke-14 lagi.

Untuk rekod, Kesultanan Brunei yang ada hari ini bermula daripada pemerintah pertama beragama Islam iaitu Awang Alak Betatar setelah memeluk Islam pada tahun 1363, baginda dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah.

Pelbagai kejayaan dan kemajuan kemudian dicapai sepanjang 34 tahun Brunei menyambut kemerdekaan daripada penjajahan Britain sehingga Sultan Hassanal Bolkiah berjaya angkat nama negara itu sebagai negara Islam unggul.

Ia sejajar titah pemasyhuran kemerdekaan negara dilafazkan baginda pada tengah malam 1 Januari 1984, diikuti laungan ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ oleh ayahandanya, almarhum Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Dekri diraja tersebut jelas membuktikan bahawa Islam merupakan agama rasmi yang menjadi prinsip pegangan asas amalan kehidupan berbangsa dan bernegara secara menyeluruh seluruh warga Brunei buat selama-lamanya.

“Mulai 1 Januari 1984 Negara Brunei Darusssalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah SWT akan untuk selama-lamanya menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik.

“Ia bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan dan dengan petunjuk serta keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala jua…”

Sepanjang lebih 50 tahun pemerintahan baginda mulai 1967, pelbagai usaha giat dilaksana menjadikan Brunei sebagai Negara Zikir berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja dan ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur’.

Salah satu usaha Sultan Hassanal Bolkiah ialah melaksanakan secara berterusan bagi kukuh lagi dakwah Islam di Brunei melalui pembinaan institusi masjid, iaitu merupakan aspek terpenting, bukan sahaja sebagai tempat ibadat.

Bahkan sebagai pusat penyebaran agama serta tempat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkebajikan bagi umat manusia. Ini termasuk penubuhan Dana Pembinaan Masjid yang diperkenankan oleh baginda pada tahun 2015.

Sultan Hassanal Bolkiah menyifatkan tabung itu sebagai salah satu inisiatif bagi menggalakkan rakyat dan warga asing beragama Islam di negara tersebut mengerjakan amal soleh dan memperoleh ganjaran baik di akhirat kelak.

“Salah satu isyarat daripada ajaran Al-Qur’an dan juga hadis Nabi Muhammad SAW ialah membina masjid, iaitu tempat orang Islam beribadat. Amalan ini adalah satu ‘amal besar’ yang mendatangkan ganjaran sangat lumayan…”

Baginda seterusnya menekankan dana ini menjadi wadah kekal umat Islam menabung pahala melalui pembinaan masjid kerana dilaksanakan secara konsisten sebagai peluang keemasan untuk ‘bertanam saham’ di akhirat.

Bagi mengukuhkan lagi syiar Islam, pendidikan agama juga dititikberatkan oleh baginda kepada semua rakyat dan penduduk Muslim di negara ini menerusi dasar pendidikan akademik yang seimbang dangan pendidikan agama.

Satu undang-undang khas digubal iaitu Perintah Pendidikan Agama Wajib 2012 berkuat kuasa pada 1 Januari 2013, mewajibkan setiap kanak-kanak Islam didaftarkan mengikuti pendidikan sekolah agama di samping sekolah biasa.

Ia dapat disaksikan sebagaimana titah Sultan Hassanal Bolkiah sendiri semasa bertitah pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-22 bagi tahun 2012 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dekat sini yang menegaskan bahawa:

“Sangat perlu diperhatikan bahawa dalam pendidikan itu terdapat dua unsur, agama dan umum. Orang sering lupa dan malah terlajak mengutamakan yang umum sahaja sehingga tertinggal atau tercicirlah agama.

“Dalam hubungan ini, Brunei sendiri turut mengalami sindrom ‘lupa’ itu dengan membiar dirinya tidak ada sistem persekolahan ‘Wajib Agama’ selama kira-kira 50 tahun, suatu ketelanjuran yang amat dikesalkan,” tegas baginda.


Melalui titah itu, seiring dengan berkuatkuasanya undang-undang tersebut, kanak-kanak di Brunei tidak akan lagi tercicir ilmu asas pendidikan Islam serta tiada lagi alasan untuk tidak pandai bersolat dan membaca Al-Quran.

Di samping itu, perintah tersebut juga menggariskan tanggungjawab ibu bapa agar mendaftarkan anak mereka ke sekolah agama pada setiap 1 Januari penggal persekolahan bagi memastikan pembelajaran pada tahun itu.

Jika gagal, mereka akan dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) dan jika didapati bersalah akan menghadapi denda tidak lebih daripada B$5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Sultan Hassanal Bolkiah sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan pelajar sekolah, bukan sahaja dalam pendidikan konvensional bahkan juga keperluan pelajar pendidikan agama dan aliran sekolah Arab di Brunei.

Sehubungan itu, pada 9 Julai lalu, baginda julung kali berkenan mengadakan lawatan ke empat institusi pendidikan sekolah Arab di seluruh negara bagi meninjau kemudahan dan pembelajaran dilaksanakan di sekolah berkenaan.

Dalam masa sama, Sultan Brunei juga menitikberatkan pendidikan ilmu Al-Quran agar makin kukuh jadi amalan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat tempatan sama ada kanak-kanak mahupun dewasa.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam memartabatkan Al-Quran antaranya pelbagai majlis musabaqah membaca dan menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dan serantau, Program Satu Minggu Satu Juzuk dan sebagainya.

Di samping itu, antara mercu tanda terpenting kepimpinan baginda dalam menegakkan syiar Islam di negara ini ialah pengisytiharan Perintah Kanun Hukum Kanun Jenayah Syariah 2013 yang berkuat kuasa mulai tahun 2014.

“Pada 22 Oktober 2013, Beta telah mengumumkan pewartaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013. Maka pada hari ini, setelah berlangsung enam bulan, Beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

“Serta bersyukur mengisytiharkan Khamis 1 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 1 Mei 2014 Masihi adalah tarikh mula berkuat kuasa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013, fasa pertama, yang diikuti pula fasa selanjutnya.”

Keprihatinan baginda bukan setakat bersangkut-paut hal ehwal kebajikan rakyat semata-mata, malah meliputi soal hukum-hakam, termasuk yang dianggap ‘remeh’ tetapi hakikatnya ada impak besar kepada kehidupan beragama.

Ini termasuk penutupan premis komersial, pejabat, pusat hiburan, rekreasi, sukan, termasuk pawagam dan padang permainan, gerai, pasar dan gedung perniagaan setiap hari Jumaat mulai jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang.

Perintah unik tersebut telah berkuat kuasa pada 2 November 2012. Begitu juga larangan pengimportan produk minuman keras dan tegahan dihidangkannya di tempat awam sama ada restoran, hotel dan kelab-kelab sosial.

Dalam usaha memastikan makanan dijamin kehalalannya, Perintah Sijil dan Label Halal (Pindaan) 2017 juga dikuat kuasa pada 26 Mei 2017, mewajibkan permohonan sijil dan permit halal ke atas syarikat perniagaan makanan.

Semua keberkatan diterima rakyat Brunei ini adalah hasil kepimpinan baginda yang berpandukan ajaran Al-Quran dan Sunnah serta jelas membuktikan Sultan Hassanal Bolkiah berjaya mengekalkan sistem pemerintahan Islam.

Brunei terus maju sejajar dengan ideologi rasmi negara iaitu Melayu Islam Beraja sekali gus menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dan di landasan mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035. – Agensi/Mynewshub.TV

Kategori