RALAT rasanya bila sebagai ibubapa, kita dah menjaga anak dengan sehabis baik tapi disebabkan kecuaian orang lain, si kecil pula yang terpaksa rasa sakit.
Kasihan anak kepada penyanyi Harris Baba, Aleena Ziya apabila si kecil itu telah ditimpa dengan penutup lampu panas ketika mereka sekeluarga sedang melawat ke butik jenama antarabangsa, Louis Vuitton.
Kejadian malang itu dikatakan berlaku pada pukul 3 petang semalam di pusat membeli belah The Gardens, Mid Valley.
Akibat kejadian itu, muka dan kedua-dua tangannya telah melecur tahap 2.
Nik Naziha Zawawi, iaitu isteri kepada Harris telah meluahkan rasa sedih dan ralatnya menerusi posting terbaharunya di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
“Kesan lecuran itu akan mengambil masa berbulan lamanya untuk sembuh dan kami perlu membawa Aleena untuk mendapatkan perkhidmatan laser bagi menghilangkan parut lecuran itu.
“Kami dah jaga dia dengan baik sekali, tapi disebabkan kesilapan pihak lain, Aleena pula yang terpaksa hadap kesakitan itu,” tulis Harris dan Naziha di akaun Instagram masing-masing.
Namun, mereka tetap bersyukur kerana penutup lampu itu tidak terkena pada bahagian mata kerana jika ianya terjadi, Aleena akan buta sepanjang hidupnya.
Pasangan suami isteri itu juga telah membuat laporan polis di atas kecuaian pihak butik tersebut dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ya, benar sekali, malang memang tidak berbau. Tapi kita masih dapat untuk mengelak daripada menjadi mangsa kecuaian orang lain.
Mujur kesan lecuran yang dialami oleh Aleena masih dapat dirawat lagi. Kalau teruk sampai boleh menganggu pembesarannya, agak-agak siapa yang nak bertanggungjawab? – MYNEWSHUB.CC/AH