SEBAGAI adik, pelakon Chacha Maembong mahu memberi peluang kepada kakaknya, Emma Maembong untuk menamatkan zaman bujang terlebih dahulu sebelumnya.
Bagi Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, walaupun dia kini sedang menjalinkan hubungan yang serius dengan kekasih hatinya, tetapi diusia muda ini, pelakon drama Menantu Bilal itu mahu menumpukan perhatian terhadap kerjayanya terlebih dahulu.
“Kakak dan abang juga masih belum berkahwin, jadi ada baiknya saya berikan dahulu mereka laluan. Pada usia muda ini, ada baiknya saya fokus membina kerjaya,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Bagaimanapun, Chacha juga merasai bahawa usianya yang kini baru mencecah 22 tahun bagaikan masih muda buatnya untuk memikirkan perihal rumah tangga dan dia turut berasa bersyukur kerana kekasih hatinya langsung tidak pernah mendesak.
“Saya merancang untuk mempunyai perniagaan sendiri sebelum berumah tangga. Saya memasang impian membuka kafe kerana minat membuat kek. Insya-Allah, jika tiada halangan, mungkin ia akan diusahakan bersama kakak,” ujarnya lagi.
Namun, dia tetap berjanji untuk mula memikirkan urusan perkahwinan selepas usianya mamasuki 25 tahun.
Chacha baru sahaja mengenali jejaka berusia 27 tahun itu pada tahun lalu dan jejaka kelahiran negeri Sarawak itu hanya dikenali sebagai DJ.
Dalam masa yang sama, gadis kelahiran Kuala Terengganu itu turut tercalon dalam pencalonan awal bagi kategori Aktres Pilihan, Festival Drama Kuala Lumpur (DFKL).
Sebagai pelakon yang sudah menceburi bidang seni selama hampir 10 tahun, Chacha masih lagi enggan meletakkan apa-apa harapan yang tinggi bagi menempatkan diirnya di dalam senarai lima terbaik.
Lebih-lebih lagi apabila antara nama lain yang turut tersenarai ialah Janna Nick, Nina Iskandar dan ramai lagi pelakon-pelakon hebat yang lain.
Tetapi, dalam diam Chacha sebenarnya bakal muncul dengan filem terbitan dari India, berjudul Garang dibawah produksi Sakti Film.
“Saya tidak berani meramalkan peluang memandangkan nama yang bertanding dalam kategori ini mempunyai kredibiliti tersendiri. Berada dalam senarai utama sudah memadai.
“Soal menang, saya tidak pernah terfikir mengenainya. Saya bagaimanapun, berterima kasih kerana penganjur melihat dan mempercayai kelebihan yang ada pada diri,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC/AH