BEIJING – Pihak berkuasa di utara China tetap bertegas apabila merobohkan sebuah gereja besar Kristian, yang terletak di Linfen, wilayah Shanxi meskipun dikritik masyarakat antarabangsa.
Gereja itu adalah Golden Lampstand yang dicat dengan warna kelabu, dikelilingi banyak menara serta lambang salib besar berwarna merah dipercayai sengaja dibina penganutnya tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan.
Rata-rata kumpulan hak asasi beragama menyifatkan usaha perobohan gereja itu sebagai tindakan ala Taliban, yang merujuk aksi biadab kumpulan pengganas di Afghanistan sering memusnahkan rumah ibadat agama lain.
Presiden kumpulan hak asasi agama berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu ChinaAid Association, Bob Fu berkata, pasukan polis dan tentera kerajaan ditugaskan untuk memantau kerja pemusnahan gereja tersebut pada Sabtu.
“Ia seperti operasi penentangan militan Taliban dan Daesh terhadap bangunan gereja,” kata beliau lagi sambil menambah kira-kira 50,000 anggota keselamatan terbabit dalam operasi bersepadu sepanjang hari berkenaan.
Memetik akhbar tempatan Global Times, seorang pegawai wilayah memaklumkan, tindakan roboh gereja itu sudah bermula Selasa lalu dan ia termasuk dalam senarai kempen pihak kerajaan untuk memusnahkan bangunan haram.
“Bangunan itu asalnya tanah pertanian milik seorang penduduk beragama Kristian yang menawarkannya kepada pertubuhan Kristian tempatan. Jadi mereka bina gereja konon memberitahu untuk bina gudang,” kata pegawai itu.
Dianggarkan hanya 30 juta rakyat China menganut Kristian manakala lebih 200 juta penduduk negara itu sama ada beragama Buddha, Confucius atau Taoist dan kira-kira 700 juta lagi pula menyembah roh nenek moyang mereka.
Lebih 30 juta pula adalah Muslim serta menikmati kebebasan beragama termasuk memiliki 36,000 masjid, 45,000 imam, makanan halal, urusan perkahwinan, ibadah haji dan cuti perayaan Islam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA