HEBAT… Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad kutuk sekolah kebangsaan kerana kononnya macam sekolah Islam tanpa imej perpaduan kaum, sekolah Cina pula terus dapat layanan istimewa DAP.
Terbaharu tular menerusi media sosial tempatan dengan ramai netizen kongsi gambar-gambar kemeriahan majlis perasmian bangunan tambahan sebuah sekolah Cina di ibu negara yang jauh lebih hebat daripada sekolah kerajaan.
Berdasarkan keterangan menerusi akaun sosial Facebook Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, ia merupakan Sekolah Tinggi Persendirian Cina Chong Hwa di Setapak, Kuala Lumpur.
Sekolah Cina antara tertua di Malaysia yang terletak di Jalan St. Thomas, Batu 3 1/2, Jalan Ipoh itu amat popular dalam kalangan kaum Cina di ibu kota sehingga jumlah kelasnya sahaja cecah 96 buah dengan lebih 5,000 pelajar.
Bayangkan bilangan kakitangan bukan akademiknya hampir 400 orang dan guru pula 279 orang. Diasaskan pada 21 Mac 1919, sekolah ini lakar sejarah tahun lalu apabila Cheong Moey Lian dilantik sebagai pengetua wanita pertama.
Dengan rekod 100 peratus pelajar lulus semua peperiksaan kerajaan, ia juga ada 10 blok bangunan serta arena sukan meliputi lima gelanggang bola kerajang, tiga (bola tampar), enam (badminton), satu (futsal/tenis) dan trek balapan.
Namun, bukan itu dipertikaikan netizen sebaliknya bagaimana sambutan kemeriahan acara perasmian bangunan baharu yang setinggi 14 tingkat oleh lima pemimpin DAP ini seolah-olah berada dalam satu program di China pula.
Cuba tengok dengan teliti gambar-gambar dikongsi netizen apabila jelas semua sepanduk digantung hanya tertera ayat dalam tulisan Cina tanpa ada dalam bahasa Melayu apatah lagi bendera Jalur Gemilang yang dikibar megah.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching serta turut dihadiri Duta Khas Malaysia ke China merangkap Ahli Parlimen (AP) Cheras, Tan Kok Wai; AP Kepong, Lim Lip Eng dan AP Bukit Bintang, Fong Kui Lun.
Menariknya, Hannah yang juga AP Segambut bersama-sama pemimpin DAP yang lain pada majlis itu dilaporkan sanggup setiap seorang berikrar akan hulur derma peribadi sebanyak RM10,000 terhadap pihak sekolah tersebut.
Ketika berucap, Nie Ching mengesahkan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara bakal terima geran khas kerajaan berjumlah RM12 juta atau RM200,000 bagi setiap sekolah terbabit pada minggu depan.
“Kita telah kumpul butiran akaun bank semua sekolah ini. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan beri dana itu yang diumumkan beliau sendiri pada Belanjawan 2019 di Kolej Universiti New Era, Kajang, Selangor,” jelasnya.
Untuk rekod, ketika bentang belanjawan tersebut di Dewan Rakyat pada 2 November tahun lalu, Setiausaha Agung DAP itu hanya umum RM50 juta untuk bantu sekolah agama persendirian dan RM250 juta untuk sekolah kerajaan.
Ini bermakna, dengan 618 buah sekolah agama persendirian, secara purata setiap sebuah cuma terima RM80,000 sahaja manakala bagi sekolah kerajaan yang berjumlah lebih 9,000 buah, setiap sebuah sekadar dapat RM27,778.
Jumlah pemberian yang amat tidak seimbang itu turut dikritik teruk oleh netizen tempatan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan lebih utamakan sekolah Cina dan pinggirkan sekolah aliran lain di negara ini. – Mynewshub.TV
*Video ini sekadar hiasan…