BARU-BARU ini kecoh tentang pertelingkahan ahli kumpulan Elite yang pernah popular dengan lagu Tamparan Wanita suatu ketika dahulu.
Ia berikutan tuntutan saman yang dibuat Hana terhadap Watie berhubung isu kegagalan Watie membayar ansuran bulanan kereta yang dibeli menggunakan nama Hana.
Akibatnya, Hana diisytiharkan muflis dan disekat untuk keluar negara demi berjumpa dengan dua anaknya yang menetap di London.
Khabarnya Hana sudah dua tahun tidak dapat berjumpa dengan Aaron Danial Mann, 16, dan Alayna Daniella Mann, 15.
“Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan saya diisytiharkan muflis tetapi banyak masalah lain terpaksa saya tanggung!
“Banyak benda saya hilang dan paling buat saya sedih, sudah dua tahun saya tidak bertemu anak-anak kerana tidak boleh ke luar negara.
“Bayangkan perasaan saya sebagai seorang ibu yang tak dapat bertemu dengan anak-anak kerana kesalahan orang lain,” katanya dipetik laporan mStar Online.
Semalam, permohonan pengurangan jumlah tuntutan sebanyak RM707,351.83 itu telah dibuat Watie kerana dia tidak mampu untuk melunaskan jumlah tersebut.
Menurut Hana, jumlah tuntutan yang dibuat dua tahun lepas meningkat dari RM300,000 kerana ianya termasuk kadar faedah yang dikenakan selepas memfailkan saman pada 18 Mei lalu.
Apa yang membuatkan Hana berang adalah kerana Watie sudah sedia maklum tentang hal berkenaan namun dia masih tidak membayar tuntutan berkenaan.
“Jika dia kata tidak tahu, ia tidak benar kerana bekas peguam saya ketika itu, SS Seelan sudah serah surat itu ke tangannya sendiri malah mereka berbincang kaedah untuk membayar ganti rugi itu.
“Tapi nampaknya Watie terus berdiam diri dan enggan menyelesaikan tuntutan yang sebelum ini hanya berjumlah lebih kurang RM300,000 sahaja.
“Atas kedegilannya untuk membayar dan jadilah jumlah itu mencapai RM700,000 kerana faedah dikenakan selama tempoh dua tahun,” tambahnya.
Terdahulu, Hana telah memenangi kes saman terhadapa Watie kerana kegagalannya membayar pinjaman bank yang dibuat menggunakan nama Hana untuk membeli sebuah kereta jenis Toyota Wish.
Khabarnya, pinjaman bank itu telah dibuat pada September 2005 dengan jumlah RM150,000 dengan alasan pelakon tersebut tidak layak membuat pinjaman.
Malangnya, Watie gagal untuk bayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010, mengakibatkan rakan sekumpulannya itu diisytihar muflis. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim