TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba terdengar desas-desus mengatakan pelakon Fathia Latiff bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya hujung tahun ini.
Pelakon yang popular dengan drama Ariana Rose itu bagaimanapun masih belum memberikan jawapan pasti tentang ura-ura tersebut.
Namun dalam beberapa laporan sebelum ini, Fathia pernah memberitahu dia semakin rapat dengan jejaka yang hanya diperkenalkan sebagai Mr. A yang dikenalinya sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Mereka berdua juga sudah saling mengenali sejak enam tahun lalu, tetapi khabarnya hubungan cinta mereka hanya berputik sejak beberapa bulan lalu.
Fathia dan kekasihnya yang juga ahli perniagaan berusia 20-an itu sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga namun tarikhnya masih belum ditetapkan lagi, tetapi khabarnya sekitar bulan November atau Disember tahun ini.
Sementara itu, Fathia dan Mr. A juga dikatakan sudah bertemu keluarga masing-masing dan mereka semuanya senang dengan satu sama lain serta memberi restu.
Penerimaan keluarga mungkin juga menjadi sebab utama mengapa hati Fathia perlahan-perlahan terbuka. Ya lah, sebelum ini kan dia putus cinta dengan pelakon Aiman Hakim selepas lebih empat tahun menyulam cinta.
Khabarnya, Fathia terpaut dengan ketulusan hati Mr. A yang sering bersabar dengan kerenahnya.
Jika betullah Fathia dan Mr.A bakal berkahwin dalam beberapa bulan akan datang ini, maka termakbullah salah satu doa Fathia di hadapan Kaabah semasa mengerjakan umrah bersama keluarganya Ramadan lalu. – MYNEWSHUB.CC