MESKIPUN mula mengembangkan bakat dalam bidang lakonan, bintang yang semakin menyerlah, Fathia Latiff mengakui lebih berminat untuk menjadi seorang penyanyi.
Bagaimanapun, pelakon Ariana Rose ini mendedahkan belum ada platform dan medium yang betul baginya mengetengahkan bakat nyanyian dalam diri.
Berita Harian melaporkan, Fathia mengakui tiada pengalaman dan ilmu mengenai bidang nyanyian dan hanya menyanyi pada acara tertentu dengan menyampaikan lagu orang lain selain di pusat karoke.
“Kalau boleh, saya mahu bertemu dengan pihak yang betul-betul boleh ‘menjual’ suara saya,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Sebelum ini, Fathia pernah menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian apabila merakamkan lagu tema drama Dia Isteri Luar Biasa berjudul Tak Pernah bersama pelakon, Shukri Yahya.
Alunan suara Fathia mendapat perhatian netizen apabila dia memuat naik video dirinya menyanyikan lagu Di Pintu Syurga nyanyian asal Dayang Nurfaizah di laman Instagramnya dua hari lalu.
Nyata, kelunakan suara Fathia mendapat pujian netizen dan ada yang mencadangkan pelakon tersebut untuk menjadi penyanyi.
Fathia menjelaskan pernah diberikan lagu oleh penerbit atau komposer namun menolaknya kerana tidak kena dengan jiwanya.
“Datuk M. Nasir sendiri pernah ‘approach’ saya, begitu juga beberapa penerbit lain. Bagaimanapun, lagu yang ditawarkan tidak sesuai dengan suara saya,” katanya yang mengidamkan irama tradisional.
Dia turut tidak menolak kemungkinan untuk lebih serius dalam bidang nyanyian pada tahun ini. – MYNEWSHUB.CC