Friday, November 29, 2024

Creating liberating content

Pencerobohan Bot Pukat Tunda...

BINTULU - Pencerobohan kapal pukat tunda laut dalam di sepanjang perairan pantai Bintulu...

Sarah Raissuddin Terkilan Hidungnya...

SUDAH menjadi lumrah bagi sesetengah manusia akan mengutuk atau mengata kekurangan yang ada...

Niat Kongsi Pendapat, Kakak...

DENGAN sikap masyarakat dunia kini yang semakin 'menerima' kaum lelaki yang berperwatakan dan...

Coklat Boleh Menjadikan Anda...

SATU kajian terkini diterbitkan dalam jurnal 'Appetite' baru-baru ini menyatakan bahawa sesiapa makan coklat...

Fikirlah: Tandas Awam Imej Personaliti Masyarakat

KUALA LANGAT – Ketika mengikuti satu program liputan media baru-baru ini, seorang rakan penulis menyatakan yang beliau lebih sanggup menahan buang air kecil daripada menggunakan tandas awam di satu kawasan sekitar Klang-Banting.

“Kotornya, naik loya tekak aku tengok. Itu baru bahagian luarannya belum lagi keadaan dalam. Geli aku,” katanya ketika kami dalam perjalanan menujui sebuah bangunan dua tingkat di hadapan jalan besar.

Memang betul. Ada tiga tandas di kawasan itu tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Pintu dan lantai tandas seperti sudah lama tidak dicuci. Manakala, tompok daki hitam, lumut hijau kelihatan jelas melatari setiap sudut ruang ini.

Malah, tidak ada seorang pun daripada kami yang sanggup membuka pintu tandas. Takut, andai kata terlihat pemandangan lebih menjijikkan daripada apa yang sudah dilihat di depan mata.

Penulis yakin, kalau sudah begini keadaannya, bukan sahaja rakan bahkan ramai daripada kita seboleh-bolehnya pasti mengelakkan diri daripada menggunakan tandas awam yang kotor.

Kecuali kalau dalam keadaan terdesak dan tidak mampu lagi menahan seruan semulajadi badan.

Hakikatnya, isu kejelikan tandas awam bukanlah permasalahan baharu untuk diperkatakan kerana ia sudah lama berantaian dalam sistem kehidupan masyarakat negara ini.

Sisa najis yang tidak dipamkan, pembuangan pelbagai jenis sampah seperti lampin pakai buang, tuala wanita dan tisu yang berselerakan, adalah antara senario yang sering kali kita lihat di tandas awam.

Paling menyedihkan, tandas rumah agama tidak terkecuali daripada menerima nasib serupa. Sedangkan, tandas di rumah ibadah inilah yang sewajarnya lebih bersih berbanding tandas awam di tempat lain memandangkan ia berada di tempat melakukan ibadah.

Pemandangan menyakitkan mata ini menjadi lebih ‘kritikal’ apabila menjelangnya waktu puncak iaitu ketika musim cuti sekolah, perayaan mahupun hari minggu.

Dengan jumlah ratusan mahupun ribuan pengunjung membanjiri pusat membeli-belah, kawasan pelancongan, hentian rawat dan rehat lebuh raya, tahap kebersihan tandas awam kebiasaannya akan tergugat.

Ada sahaja suara bebelan merungut bau busuk kerana mahukan tandas yang selesa dan bersih. Walhal, senario menyakitkan mata ini masih berterusan adalah disebabkan sikap pengguna itu sendiri.

Boleh dikatakan, majoriti besar masyarakat tidak ambil peduli, tidak bertanggungjawab dan memandang remeh akan pembudayaan kebersihan tandas awam. Sedangkan, tandas awam adalah tempat yang amat penting untuk setiap individu.

Kajian Pertubuhan Tandas Sedunia (WTO) mendapati seseorang individu secara purata menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau enam hingga lapan kali sehari.

Disebabkan itulah, kemudahan tandas awam disediakan untuk kegunaan orang ramai yang berada di luar rumah. Tambahan pula, dengan kesesakan kenderaan luar biasa ibu kota, pastinya tandas awam antara kemudahan yang paling melegakan banyak pihak.

Biarpun demikian, kebanyakan daripada kita tidak mahu menjaganya dengan baik sepertimana penggunaan tandas di rumah.

Kurangnya sifat prihatin mahupun ‘sense of belonging’ (milik sendiri) menyebabkan ada yang malas untuk menjaga kebersihan tandas awam dan menyerahkan seratus peratus kepada pihak berkuasa tempatan mahupun tukang cuci.

Ya, kita tidak menafikan tukang cuci ditugaskan untuk membersihkan tandas awam. Tetapi, sebagai pengguna yang bertamadun dan mempunyai kesedaran sivik adalah sewajarnya bertanggungjawab mengamalkan etika betul semasa menggunakannya.


Lagipun, bukan anda seorang pengguna tandas. Bayangkan, jika tandas awam di sesuatu kawasan dibanjiri dengan ribuan orang ketika musim perayaan. Pastinya, agak sukar untuk mengekalkan kebersihannya sepanjang masa disebabkan hanya dua atau tiga orang sahaja mencuci tandas.

Mengeruhkan lagi keadaan apabila terdapat tandas yang bukan sahaja kotor tetapi tidak dapat berfungsi dengan baik kerana pelbagai kerosakan akibat perbuatan vandalisme.

Siapa yang tidak pernah berhadapan sinki bocor, dinding diwarnai pelbagai contengan, pam rosak, mangkuk tandas pecah dan pintu tandas tidak boleh berkunci?

Perbuatan pengguna nakal ini amat berisiko sebenarnya. Ia mengundang bahaya kepada pengguna lain selain turut menjejaskan imej dan nama baik negara dalam kalangan pelancong asing.

Tidak malukah kita andai kata negara dikenali sebagai rakyat pengotor dan tidak ada kesedaran sivik?

WTO sendiri ada menyatakan bahawa sesebuah negara itu dicerminkan dengan bagaimana masyarakatnya menggunakan tandas.

Penyataan ini sahaja sudah menjelaskan akan kepentingan amalan pembudayaan kebersihan tandas dan ia juga pernah dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari lepas.

Najib dalam catatan Twitter meminta pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjaga tahap kebersihan tandas awam. Sebagai pintu gerbang utama, imej negara pastinya tercalar jika kualiti tahap kebersihan tandas awam tidak seindah mana.

Sedangkan kerajaan sudah melakukan pelbagai cara menyediakan kemudahan serta meningkatkan taraf kualiti tandas awam seluruh negara.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM208.35 juta bagi melaksanakan penambahbaikan 1,146 fasiliti awam yang bermasalah di bawah inisiatif ‘My Beautiful Malaysia’ (MyBM) sehingga Disember 2016.

MyBM yang dimulakan pada Mei 2014 bertujuan menangani isu-isu berkaitan kemudahan awam termasuklah tandas awam yang berada dalam keadaan daif, usang dan kotor kerana tidak diselenggara dengan baik.

Kaedah penarafan bintang juga diwujudkan sejak tahun 2012 oleh Jawatankuasa Naziran Kebersihan Tandas Awam DBKL dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, KPKT serta Alam Flora Sdn Bhd dalam memastikan tandas di Kuala Lumpur menepati standard lima.

Kaedah penarafan ini dibuat bagi menggalakkan operator tandas awam bersaing dalam menyediakan perhidmatan tandas awam yang benar-benar bersih dan selesa untuk digunakan.

Bagaimanapun, semua ini hanya sia-sia sekiranya amalan pembudayaan kebersihan tidak ada dalam diri pengguna dan operator. Ingat, bahawa kemudahan ini disediakan untuk anda dan amat merugikan jika ia tidak digunakan dengan baik.

Sedangkan, WTO menerusi laman sesawangnya ada menyatakan 40 peratus penduduk dunia tidak mempunyai akses tandas sempurna sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai penyakit. Jadi, mengapa kita tidak menghargai apa yang sudah ada di depan mata? – BERNAMA

Kategori