DUNGUN – Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang di sini atau lebih dikenali sebagai ‘hospital penyu’ sering menggunakan rawatan herba dalam merawat haiwan itu yang cedera akibat terperangkap dalam pukat atau menghidap sakit semulajadi.
Ketua Cawangan Mamalia Marinnya Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata pihaknya telah menyelamatkan lapan penyu yang cedera yang diterima sepanjang tahun ini.
“Kebiasaannya, penyu yang kami terima menghidap penyakit semulajadi dan ada juga yang cedera kerana terperangkap dalam pukat hanyut dan pukat tunda yang digunakan nelayan asing.
“Baru-baru ini, Pasukan Penyelamat Spesies Marin Terancam terdiri dari FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Terengganu dan Jabatan Perhidmatan Vaterinar Johor selesai melakukan rawatan pemulihan kepada dua penyu karah (Eretmochelys Imbricata) juvenil berusia tiga tahun yang cedera akibat terperangkap dalam pukat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata rawatan dimulakan dengan memotong bahagian infeksi dan kulit mati yang bernanah.
“Kawasan luka kemudiannya disapu dengan iodin dan pembasmi kuman sebelum dirawat dengan herba seperti kunyit dan aloe vera. Kunyit hidup ditumbuk hancur dan diletak pada luka selama 10 minit sebagai antiseptik dan antibiotik bagi menghentikan pengaliran darah dan mempercepatkan pertumbuhan sel baharu.
“Seterusnya, lendir daun aloe vera diperah dan disapu pada luka untuk meredakan sakit, tekanan, surut bengkak dan menggalakkan pertumbuhan sel baharu. Akhir sekali suntikan antibiotik sebanyak 0.25ml diberikan kepada setiap penyu karah. Kunyit yang ditumbuk hancur dimasukkan dalam air kolam rendaman penyu supaya mematikan bakteria dalam air dan mengurangkan tekanan,” kata Mohd Tamimi.
Bagi mengembalikan kehilangan nutrisi, penyu yang kelaparan dan kurus diberi makanan rumusan yang dibuat daripada pisang, betik dan gula merah dikisar sekali gus hingga hancur sebati untuk dimasukkan ke dalam picagari dan disuap dengan menggunakan tiub silikon sebanyak 25ml setiap penyu.
Beliau berkata penyu yang dirawat memberi tindak balas menelan makanan rumusan yang diberikan dengan berselera dan ia perlu disuap tiga kali sehari sama seperti rawatan luka iaitu pada setiap 9 pagi, 3 petang dan 10 malam.
“Pemerhatian tingkah laku dan perubahan penyembuhan luka dipantau setiap masa, dicatat dan direkod. Bagaimanapun rawatan diberi adalah berbeza bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami penyu itu,” katanya
Mohd Tamimi berkata penerimaan penyu yang cedera daripada orang awam itu membuktikan program pendidikan dan kesedaran terhadap konservasi penyu oleh FRI Rantau Abang berjaya memberi impak positif kepada masyarakat sekitar dalam proses pemuliharaan penyu.
“Kami di sini sebagai ‘hospital penyu’ berharap dapat menyelamatkan lebih banyak penyu pada masa akan datang dan ia hanya akan tercapai jika kami mendapat kerjasama daripada orang ramai secara berterusan,” katanya.
Setakat ini, FRI Rantau Abang menerima antara 5,000 hingga 7,000 pengunjung setiap tahun untuk menyaksikan sendiri kehidupan haiwan eksotik itu bermula dari proses pengeraman telur, penetasan, pelepasan ke pantai, rawatan pemulihan dan pemuliharaan semula.
Tiada bayaran dikenakan untuk kemasukan ke FRI Rantau Abang dan kami berharap kunjungan orang ramai akan dapat meningkatkan kesedaran mereka untuk bersama-sama berganding bahu menyelamatkan haiwan yang sangat terancam ini, katanya. – BERNAMA