PUTRAJAYA – Gantian Cuti Rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan oleh penjawat awam kekal sebanyak 150 hari dan dibayar dengan wang tunai.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, bayaran itu telah pun diperjelaskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 18 pada tahun 2008.
“Kerajaan sentiasa prihatin akan kebajikan penjawat awam dalam mendokong kemajuan negara,” kata kenyataan media itu hari ini.
Sebelum ini terdapat dakwaan tidak benar disebarkan di media sosial oleh orang ramai tentang GCR bagi memburuk-burukkan kerajaan.
JPA berkata, melalui SPP Bil. 2 Tahun 2017 iaitu mulai 1 Januari 2018, kerajaan memutuskan jika cuti yang dikumpulkan bagi maksud ganjaran wang tunai melebihi 150 hari, maka cuti tersebut boleh dimohon untuk digunakan di tahun persaraan.
Menurut JPA, sebagai contoh jika GCR terkumpul 175 hari, maka 150 hari akan dibayar ganjaran wang tunai, manakala baki 25 hari diguakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.
“Adalah diharapkan dengan penjelasan ini maka tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan penjawat awam mengenai SPP Bil. 2 Tahun 2017,” kata JPA. – MYNEWSHUB.CC