Gol Kontroversi Ranapkan Impian JDT

BANGKOK – Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas tipis 0-1 kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus pada aksi Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.

Gol kontroversi dihasilkan Hiroyuki Abe mencetus persoalan apabila barisan pemain JDT menyangka Ryogo Yamasaki berada di posisi ofsaid dan memperlahankan perlawanan, namun pengadil dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mohamed Abdulla Hassan mengesahkan jaringan itu.

Lebih malang, gol penyamaan Bergson Da Silva pada minit akhir perlawanan dibatalkan kerana dia didakwa menolak pertahanan lawan dan misi skuad Harimau Selatan sekurang-kurang meraih satu mata tidak kesampaian.

Nagoya Grampus yang kembali bersaing dalam kancah ACL selepas kali terakhir membuat penampilan pada musim 2012 bermula garang apabila kerap menguasai perlawanan pada 20 minit babak pertama.

Pasukan itu bermula dengan bergerak di posisi tengah dan mengembang ke sayap kiri dan kanan menyaksikan gandingan benteng JDT, Shane Lowry dan Mauricio dos Santos terpaksa bekerja keras.

Biarpun sering diasak, barisan pemain Benjamin Mora yang tampil musim ketiga berturut-turut pada kancah ACL tampak mampu menyaingi kehebatan kelab dari Jepun itu apabila berani mencuri bola daripada pemain skuad kendalian Massimo Ficcadenti.

Malah, serangan balas Bergson Da Silva secara solo ke kubu lawan pada minit ke-37 hampir memerangkap Nagoya Grampus, tetapi rembatan kencangnya sipi dari jarak 35 meter tatkala penjaga gol, Mitchell Langerak sudah tertewas.

Pada babak kedua, ketenangan barisan tengah JDT diterajui Natxo Insa berjaya mematikan gerakan pemain lawan lebih awal.

JDT akhirnya dikejutkan dengan jaringan Abe pada minit ke-60 menerusi bola umpanan Yamasaki yang dikatakan berada dalam keadaan ofsaid dan pengadil membenarkan jaringan itu.

Mora melakukan rombakan di posisi tengah dan sayap apabila memasukkan Safiq Rahim, Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid dan mengeluarkan Safawi Rasid, Ariff Aiman dan Afiq Fazail.

Pada masa kecederaan, Bergson menanduk masuk gol penyamaan, tetapi jaringan itu dibatalkan selepas dia dikatakan menolak pertahanan Nagoya Grampus.

Sementara itu, dalam aksi kumpulan sama, FC Pohang Steelers tidak berdepan masalah untuk menjinakkan kelab Thailand, Ratchaburi FC, 2-0 sekali gus berada di tangga teratas kumpulan. – myMetro Online