SUDAH lama rasanya kita tidak mendengarkan khabar berita daripada aktres dan produser jelita, Haliza Misbun ini kan?
Memetik laporan mStar Online, wanita berusia 45 tahun itu mengakui beliau kini dalam proses untuk mengenali hati budi seseorang jejaka Inggeris.
Menurut Haliza, lelaki berkenaan berasal dari Oxford, England tetapi hubungan mereka belum sampai tahap bercinta kerana enggan terburu-buru mengenai soal hati dan perasaan.
“Apa yang boleh saya katakan memang saya sedang berkawan seorang jejaka berbangsa Inggeris berasal dari Oxford. Masih dalam proses berkawan dan kalau boleh tidak mahu terburu-buru, biar kenal terlebih dahulu,” kata Haliza.
Dalam pada itu, Haliza berkata dirinya tidak pernah terburu-buru mahupun tertekan dalam soal perkahwinan kerana ia bukanlah penentu sama ada dia akan menjadi individu lebih baik.
Bukan itu sahaja, malah dia juga enggan menyaksikan dirinya terikat dengan status diletakkan oleh masyarakat sekeliling.
“Saya tidak pernah menilai diri sendiri berdasarkan usia, penampilan atau fizikal dan status berkahwin atau tidak ia bukan menggambarkan diri saya yang sebenar.
“Just go with the flow. Saya tidak mahu terikat dengan status masyarakat yang seorang perempuan itu harus berkahwin pada usia tertentu. Siapa tahu esok lusa saya berkahwin?” ujarnya.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Haliza memberitahu drama terbaru lakonannya berjudul Air Mata Syurga kini sedang ditayangkan di saluran HyppSensasi, Unifi TV setiap Isnin dan Selasa pada 9 malam.
Ujarnya, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama berkenaan kerana jalan ceritanya berat selain wataknya sendiri yang disifatkan bukan tipikal seperti yang lain.
Selain Haliza, drama itu turut dibarisi oleh para pelakon hebat seperti Tasha Shilla, Afiq Muiz, Elly Suriati dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM