LEWAT malam tadi penyanyi Siti Sarah telah dikejarkan ke hospital kerana mengalami tekanan darah rendah secara tiba-tiba.
Perkhabaran itu turut dikongsikan suaminya, Shuib Sepahtu di laman Instagram miliknya. Dia juga turut memuat naik satu video pendek di aplikasi InstaStory di Instagramnya.
Video tersebut menunjukkan keadaan Sarah yang sangat lemah di dalam sebuah ambulans untuk ke hospital.
“Doakan isteri saya sihat. Ibu kena kuat, daddy ada ni teman ibu walau apa pun jadi. Love you sayang @sitisarahraisuddin,” tulisnya.
Namun, pada pagi ini, ahli kumpulan Sepahtu itu menerusi aplikasi Live di Instagram menyatakan Sarah semakin pulih.
Dia turut berterima kasih kepada rakan-rakan artis serta peminat yang mendoakan kesihatan Sarah agar kembali seperti biasa.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada yang mendoakan Sarah. Alhamdulillah, malam tadi keadannya sangat membimbangkan, tapi pagi ini dah okay.
“Malam tadi tekanan darah Sarah turun habis sampai tahap yang membimbangkan, tapi sekarang dah boleh main telefon dah okaylah itu,” selorohnya.
Dalam pada itu, pelawak yang berusia 33 tahun ini turut mengumumkan satu berita yang agak mengejutkan rata-rata peminatnya.
“Sebenarnya hari Rabu ini ialah hari yang lain daripada hari yang lain kerana hari ini hari terakhir saya di Sepahtu Sinar. Berat hati sebenarnya tapi kadang-kadang kita kena buat keputusan,” ujarnya.
Tambah Shuib, dia terpaksa membatalkan rancangan yang dibuat di konti pada hari ini kerana sedang menjaga Sarah di hospital.
Dia turut berterima kasih kepada peminat-peminat yang mendengarkan segmen pagi itu dan memohon maaf kerana penarikan dirinya daripada radio tersebut.
Khabarnya, keputusan tersebut terpaksa diambil kerana tuntutan kerja lain dan kekangan masa yang dihadapinya.
“Teruskan sokongan kepada Sinar FM dan saya memohon maaf kepada peminat-peminat Sepahtu Sinar sebab saya tak boleh nak bersama dengan Sepahtu Sinar lagi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pihak Sinar FM turut berkongsi berita sedih itu melalui Instagram dan laman YouTube mereka. Hari ini genap dua tahun penglibatannya di stesen radio tersebut selepas memulakan karier sebagai penyampai radio pada 30 November 2015 yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/SA
*Video sekadar hiasan…