KUALA KRAI – Hospital Kuala Krai (HKK) bernilai RM304 juta yang baharu siap dibina di Kampung Pahi bakal memulakan operasinya pada 1 Sept ini.
Pengarahnya Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata pembinaan hospital berkenaan telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada Rabu lalu.
“Ia merupakan hospital terbesar di Kelantan ketika ini yang menyediakan peralatan canggih serta moden bagi meningkatkan keperluan rawatan terutama bagi pesakit kronik selain menjadi antara mercu tanda baharu bagi wilayah Kelantan selatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.
Dr Mohd Salleh berkata hospital berkenaan mempunyai 11 wad membabitkan 268 katil selain lapan dewan bedah, lapan wad bersalin dan unit rawatan rapi yang mampu menerima pesakit lebih ramai berbanding hospital lama.
“Tempat meletak kenderaan untuk orang awam juga disediakan termasuk kemudahan tempat meletak kenderaan bagi orang kelainan upaya (OKU),” katanya. – BERNAMA