UNIK… Ratusan peserta sebuah kongres perubatan di India catat rekod dunia Guinness baharu bagi barisan tuala wanita terpanjang, dalam langkah bertujuan promosi kebersihan diri ketika haid.
Seramai 500 peserta Kongres Obstetrik dan Sakit Puan Seluruh India (AICOG) ke-62 dilaporkan berjaya mengambil masa selama tujuh setengah jam untuk meletakkan 10,105 tuala wanita dalam barisan sepanjang 1,078 meter.
Acara di Bangalore, selatan India itu disahkan secara rasmi oleh pegawai rekod dunia Guinness dan peserta juga memasukkan bentuk rahim di bawah slogan ‘Tiada lebih comel berbanding rahim anda’.
“Tuala wanita diperlukan untuk kebersihan mereka. Ini juga penting kerana jika tidak, ia punca jangkitan bahagian pelvis, saluran kencing dan semua masalah di bahagian itu,” kata pakar sakit puan, Geeta Pramod Shanbhag.
Menurut laporan Tinjauan Kesihatan Keluarga Kebangsaan yang diterbitkan pada 2017, cuma 58 peratus wanita India yang berusia antara 15 hingga 24 tahun menggunakan kaedah perlindungan haid itu, lapor akhbar Hindu.
Sekitar Julai tahun lalu, India menarik balik cukai kontroversi ke atas tuala wanita susulan kempen diketuai aktivis dan bintang Bollywood untuk meningkatkan pendidikan dan memperkasakan kebajikan wanita tempatan.
Satu kajian oleh WaterAid dan UNICEF mendapati lebih satu pertiga gadis di rantau Asia Selatan tidak datang sekolah ketika haid. – Agensi/Mynewshub.TV