KLANG – Kebakaran terbuka terutama bagi tanaman kontan memburukkan lagi pencemaran jerebu terutama di Selangor.
Kosmo! difahamkan di Johan Setia khususnya terdapat 1618.74 hektar tanaman kontan seperti halia, ubi, keledek, cili dan kunyit yang diusahakan oleh lebih 2,000 petani bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima purata 10 panggilan setiap hari dalam kebakaran terbuka melibatkan kebun, tanaman kontan dan sampah atau sisa bahan binaan daripada projek pembinaan dalam tempoh dua minggu ini.
Katanya, pelupusan tanaman kontan melalui pembakaran merupakan cara tradisional dilakukan pihak petani.
“Taburan hujan yang kurang dan cuaca kering sejak awal bulan ini juga membantu pencemaran jerebu ini.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran ini dan hanya melonggokan sampah tersebut untuk diseliakan oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Samsol turut menyeru para pengguna jalan raya agar tidak membuang puntung rokok sesuka hati yang boleh mengakibatkan kebakaran di Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas).
“Puntung rokok yang dibuang dan melekat pada daun kering boleh mengakibatkan kebakaran dan perkara ini pernah terjadi di kedua-dua lebuh raya tersebut sebelum ini,” katanya.
Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga pukul 11 pagi hari ini menunjukkan Johan Setia merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 160.
Turut merekodkan bacaan tidak sihat empat lagi kawasan di sekitar Selangor iaitu Petaling Jaya (140), Shah Alam (130), Klang (118) dan Banting (123). – K! ONLINE