BERITA layanan istmewa diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bukan sahaja mengejutkan Pakatan Harapan (PH) sendiri.
Malahan rupa-rupanya ada kisah sedih tersirat kenapa Presiden UMNO itu dijemput ke Istana Mina dekat Makkah oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sendiri bagi diraikan khas dalam majlis sambutan Aidiladha pada Selasa lalu.
Ia bukan sahaja luar biasa kerana belum pernah terjadi dalam sejarah ada pemimpin bukan kerajaan tiba-tiba pula diiktiraf dan dijemput ke acara rasmi kerajaan Arab Saudi, ujar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemunculan Ahmad Zahid menjadi antara tetamu Raja Arab Saudi pada majlis tahunan tersebut sehingga tular dalam kalangan pengguna media sosial yang begitu teruja dengan insiden itu.
Menurut Najib, kerajaan Arab Saudi juga menyediakan sebuah jet rasmi untuk bawa dirinya ke sana tetapi beliau disekat PH ketika ini akibat tindakan senarai hitam pihak Imigresen ke luar negara sejak blok politik itu berkuasa.
“Saya dengar ada sebuah pesawat khas milik Kerajaan Arab Saudi sendiri sudah bersedia bagi bawa saya, namun malangnya saya pula telah lama disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada bergerak bebas ke luar negara.
Baca: Saudi Tetap Iktiraf UMNO, Mula Sindir PH
“Baginda turut kesal terhadap keputusan kerajaan PH hari ini kerana bertindak biadab menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya yang sudah lama diluluskan saya dulu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menyifatkan hubungannya dengan Raja Salman ibarat anak dan bapa, justeru katanya segala perancangan dibuat sebelum ini ditanggung baginda sendiri termasuklah dalam isu perangi siri keganasan pelampau di Asia Barat.
“Raja Arab Saudi turut kesal dengan tindakan kerajaan Malaysia menarik balik pasukan tentera negara kita yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan di sekitar Makkah dan Kaabah diwujud ketika zaman pentadbiran saya.
“Meskipun tidak disebut secara terbuka, bagi yang faham senario geopolitik rantau Asia Barat, tentu ramai maklum mengenai hubungan kurang mesra antara Mahathir dengan pihak Arab Saudi sejak dahulu yang tiada kesudahan.
“Ini termasuk isu derma RM2.6 bilion untuk fitnah saya dan akhirnya Barisan Nasional dapat ditumbangkan,” kata Najib dalam nada kesal yang dipetik oleh sebuah portal berita tempatan. – Agensi/Mynewshub.TV