LONDON – Seorang juruterbang Jepun yang ditahan di Lapangan Terbang Heathrow di sini ketika bersedia menerbangkan pesawat walaupun darahnya didapati melebihi paras alkohol sembilan kali ganda had penerbangan, dipenjara 10 bulan semalam.
Pegawai pertama Katsutoshi Jitsukawa, 42, gagal ujian pernafasan kurang sejam sebelum berlepas dalam kokpit pesawat Japan Airlines ke Tokyo, Oktober lalu, kata polis.
Dia ditahan bulan lalu dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Uxbrigde di sini atas kesalahan menerbangkan pesawat dengan paras alkohol dalam darah melebihi had dibenarkan.
Ujian menunjukkan dia memiliki 189 miligram (mg) alkohol bagi setiap 100 mililiter darah dalam sistemnya, lebih sembilan kali ganda berbanding 20 mg yang dibenarkan untuk juruterbang.
“Jelasnya, akibat itu mungkin berpotensi membawa malapetaka jika kakitangan keselamatan dan polis tidak campur tangan, dia terus menerbangkan pesawat dalam keadaan sedemikian.
“Ini adalah kesalahan serius oleh kerana Jitsukawa, seorang kru syarikat penerbangan, mempunyai tanggungjawab menjalankan tugas kritikal.
“Kesalahan dilakukannya menunjukkan dia bukan setakat mengabaikan keselamatan semua penumpang dan kakitangan penerbangan, malah orang awam secara keseluruhan,” kata Inspektor Iain Goble daripada Dasar Penerbangan London dalam satu kenyataan. – Reuters/BH ONLINE