TUMPAT – Meskipun sudah 16 tahun dikebumikan, keadaan kain kafan tiga jenazah yang dihanyutkan arus deras air hujan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Datuk di Kampung Dalam Rhu, di sini masih elok.
Kejadian itu berlaku ketika penduduk kampung bergotong-royong menimbus kembali pusara yang berubah tempat, batu nisan tercabut dan belindan pecah sejak semalam lagi.
Menurut imam Masjd Ismaili Tumpat, Mazlan Besar, apa yang berlaku adalah kuasa Allah memperlihatkan kain kafan yang masih elok sedangkan jasad itu dikebumikan 16 tahun lalu.
“Saya yang baru selesai menunaikan solat Subuh segera ke kawasan kubur terbabit dan dalam keadaan hujan lebat masih sempat melihat tiga belindan yang mengandungi jenazah yang masih elok berkain kafan.
“Tapi sebelum diperlihat oleh orang ramai saya tutup (kambus) cepat-cepat kain kafan itu. Itu semua kuasa Allah, di sini tanah perkuburan yang jenazahnya ditanam hanya tiga hingga empat kaki kerana faktor tanah,” katanya yang memetik Sinar Online.
Difahamkan, keadaan di tanah perkuburan berkenaan ketika itu agak cemas ditambah keadaan hujan agak lebat dan belindan serta batu nesan berselerak akibat pasir terhakis disebabkan arus yang deras.
Tambah Mazlan, tanah perkuburan itu sudah berusia lebih 100 tahun dan yang terbesar di mukim terbabit.
Sehubungan itu, hebahan terus dibuat kepada penduduk sekitar bagi mengadakan gotong-royong membaiki serta membersihkan tanah perkuburan terbabit.
Kelmarin dilaporkan arus deras air hujan yang bertakung memasuki Tanah Perkuburan Islam Kubur Datuk menyebabkan lebih 100 kubur rosak. – MYNEWSHUB.CC