BISU… Jika sebelum ini, pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling lantang kutuk Tun Dr. Mahathir Mohamad terutama isu kekayaan luar biasa anak-anaknya ketika beliau berkuasa dahulu.
Ini termasuk pendedahan berani bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat secara zalim oleh negarawan itu mengenai Mirzan Mahathir yang memiliki syarikat minyak Petron dan pengeluar arak ternama Filipina, San Miguel.
Itu cerita lama tetapi kini, setelah menerima pengampunan diraja hasil usaha Mahathir, 93, selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Anwar kelihatan senyap daripada mengecam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut.
Ini menyebabkan beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Puad Zarkashi persoal tindakan beliau yang dilihat diam diri berhubung isu pelantikan Petron sebagai antara pembekal bahan bakar api rasmi kenderaan kerajaan.
Tidak ketinggalan ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menyifatkan Presiden PKR itu seolah-olah cuba melindungi salah guna kuasa yang dilakukan Perdana Menteri tertua usianya di dunia tersebut.
“Jadi kita beranggapan, hari ini semua salah laku dan rasuah yang pernah dilakukan Mahathir sudah dilindungi pula oleh Anwar kerana beliau lebih takut jawatan perdana menteri yang bakal beliau sandang akan hilang selepas ini.
“Anwar tidak lagi berani untuk bela nasib rakyat yang dianiaya Mahathir hari ini,” kata Lokman sewaktu ditemui pada Majlis Riadah Merdeka 1Malaysia sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di ibu negara hari ini.
Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor yang hadir ke Taman Botani Perdana meluangkan masa selama dua jam bersama pengunjung sambil menjamu selera dan sesi bergambar.
Terdahulu, dilaporkan Kementerian Kewangan awal bulan ini mengumumkan pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan, memetik memorandum yang tersebar menerusi media sosial.
Bagaimanapun kementerian itu terpaksa mempertahankan keputusan pelik tersebut dengan memaklumkan Petron kononnya bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel untuk semua kenderaan kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Lokman mendakwa Kabinet kerajaan PH sebagai ‘gila korup’ setelah biar pelantikan Petron itu diluluskan dengan berselindung alasan Petronas dan Shell masih lagi menjadi pembekal bahan api sejak 1997.
“Tak kan lah mereka tak tahu, Mirzan tu anak Mahathir? Jadi keseluruhan barisan Kabinet ini gila korup lah. Kalau Anwar berani, dia akan bangkit ‘pukul’ kerajaan PH hari ini, kalau dia berani lah. Saya rasa dia pun tak berani.
Mengulas lanjut Lokman menambah, kini rakyat Malaysia tidak boleh berbuat apa-apa tindakan dan hanya boleh pasrah menerima semua bentuk penipuan serta reda sahaja salah guna kuasa yang dilakukan pihak kerajaan PH.
“Jadi rakyat Malaysia kena bangkit bersuara dengan bantah sikap kerajaan baharu hari ini dan lawan juga Anwar yang turut menyokong barisan korup kerajaan PH,” tegas beliau. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video berikut sekadar sindiran…