MASIH lagi berkisar tentang kontroversi pasangan Aliff Aziz dan Bella Astillah. Kini, Nick Mikhail Razak, seorang selebriti televisyen Singapura menerusi video live membuat kenyataan balas terhadap apa yang diperkatakan Zed Zaidi.
Umum mengetahui, Zed Zaidi ada memberi peringatan kepada Aliff Aziz selepas apa yang terjadi. Tetapi, sebagai artis kelahiran negara sama seperti Aliff, Nick Mikhail turut terpanggil untuk mengulas isu ini.
Pagi tadi, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) telah membuat satu laporan polis di Taman Melawati mengenai isi video live Nick Mikhail yang dikatakan telah mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zed.
Kata-katanya iaitu “kalau lu langgar sama Aliff Aziz lu langgar sama gua. Sekarang wa cabar sama lu, lu pancung, lu datang kita tunggu sama lu,” agak kurang sopan ditujukan kepada Zed.
Datuk Subash Sundaramoorthy, 36, yang juga Pengerusi Biro Perpaduan dan Antarabangsa Seniman telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu tanpa pengetahuan Zed Zaidi kerana merasakan tindakan Nick Mikhail mencalarkan kredibiliti Zed Zaidi.
“Zed sendiri tidak tahu kami akan buat laporan polis dan hanya memberitahunya pagi ini,” katanya kepada sebuah akhbar.
Khabarnya, Nick Mikhail bukan sahaja mempertikaikan tindakan Zed Zaidi yang sepertinya mencampuri urusan peribadi pasangan itu, malah dia juga turut mempersoalkan atas alasan apa Zed tidak mencampuri urusan peribadi artis Malaysia.
Walaupun pernah bergandingan dengan Zed dalam filem Bicara Hati pada 2004, ianya tidak menghalang Nick untuk mendakwa Zed berat sebelah dan cuba ‘membunuh’ artis Singapura di Malaysia.
Sementara itu, Beego selaku Pengerusi Biro Penguatkuasaan Perlesenan dan Tata Tertib Seniman menegaskan pihak Seniman bukan suka-suka mahu mencampuri hal ini, namun atas banyak pertanyaan yang dilemparkan tentang permit bekerja penyanyi itu di sini membuatkan mereka bersuara.
“Isu Aliff ‘panas’ dan menjadi bualan netizen sehingga ada pihak mempertikaikan permit bekerjanya di negara ini,” tambahnya lagi.
Beego juga turut mengesahkan bahawa Aliff merupakan salah seorang ahli Bersekutu Seniman dan telah menghantar permohonan pekerja filem asing ke Finas untuk diproses di Jabatan Imigresen namun jawapannya masih belum diketahui. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim