Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Jepun Mahu Kereta Api...

TOKYO -  Jepun hari ini mengulangi hasratnya untuk melihat teknologi kereta api laju...

Tauke Terima Banyak Tajaan...

BELUM pun menetapkan sebarang tarikh untuk melangsungkan perkahwinan, pelawak Tauke Jambu mengakui sudah...

Kenyataan Mustafa Terhadap Lim...

GEORGE TOWN - Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali terhadap...

“Saya Jual Syarikat Kerana...

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,...

Kerjasama Bersepadu Pacu Semula Industri Francais – PM

PUTRAJAYA – Pembabitan atau kerjasama bersepadu pelbagai agensi dan penggiat industri francais adalah diperlukan bagi merancakkan semula momentum industri tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut perdana menteri, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk meneruskan pelaksanaan Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP).

Beliau berkata, ini bagi melatih perniagaan francais tempatan dalam aspek pengurusan dan amalan francais antarabangsa, padanan perniagaan serta misi perdagangan selain berkaitan bayaran balik kos eksport.

“Kerajaan juga kekal komited untuk menyokong pertumbuhan industri francais menerusi pelbagai inisiatif di bawah KPDNHEP,” katanya ketika melancarkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2021 secara maya, hari ini.

FIM adalah satu-satunya pameran francais berskala besar yang diiktiraf oleh Majlis Francais Dunia (WFC) dan Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC).

Acara yang diadakan dalam format digital pada tahun lepas bagi mematuhi ketetapan norma baharu susulan pandemik Covid-19, turut diteruskan dengan konsep sama tahun ini.

Selain itu, Ismail Sabri yang menyifatkan industri francais sebagai sesuatu yang dekat di hati beliau kerana pernah menerajui KPDNHEP, berkata industri tersebut telah mencatatkan jualan yang mencecah RM13.3 bilion pada 2019 dan kira-kira RM5.2 bilion pada 2020.

Pada 2019, industri francais telah menyediakan lebih daripada 80,000 pekerjaan dengan anggaran sumbangan upah sebanyak RM1.4 bilion.

“Kita positif bahawa angka jualan pada akhir tahun ini akan mencecah RM13 bilion dengan mengambil kira daripada kekuatan industri ini walaupun dalam keadaan pandemik,” katanya.

Ismail Sabri berkata usaha di bawah Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik juga dijangka membuahkan hasil menjelang akhir tahun ini apabila kalangan francaisi terbabit memulakan perniagaan masing-masing.

“Sejak 1994, jenama Francais Malaysia telah mempamerkan daya tahan mereka dalam mengharungi cabaran ekonomi global dengan menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti. Hasilnya, semakin banyak francais kita yang telah menarik minat pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya.


Beliau berkata sebanyak 391 outlet baharu francais Malaysia telah dibuka di seluruh dunia menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 dari 2016 hingga 2020.

“Pemfrancaisan telah berkembang menjadi kekuatan yang signifikan bagi mendorong pengantarabangsaan perniagaan dan nilai yang lebih tinggi daripada urus niaga ini telah memanfaatkan komuniti perniagaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ismail Sabri berkata Malaysia sentiasa mengamalkan dasar pro-francais dan mengalu-alukan francaisor di seluruh dunia untuk menjalankan perniagaan di negara ini seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab francais di ASEAN.

“Kita yakin pertumbuhan perniagaan francais yang memberangsangkan ini akan dapat membantu memakmurkan dan memanfaatkan negara, usahawan, pengguna, ahli perbankan, perkhidmatan sokongan dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Perdana menteri berkata pelbagai program yang menyasarkan usahawan muda untuk mendapat akses yang adil terhadap sumber terbabit juga telah dilaksanakan melalui geran yang ditawarkan kerajaan menerusi Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik tersebut.

Di bawah program ini, pemilik perniagaan baharu ditawarkan dengan geran sepadan manakala geran penuh ditawarkan kepada pemilik francais untuk mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengajak komuniti pemfrancaisan asing untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penubuhan kemudahan pusat bagi rantau Asia Tenggara serta bertindak memperkenalkan perniagaan mereka di serata negara-negara Asia Timur.

“Anda akan mendapati Malaysia yang bersandarkan persekitaran bagi pengupayaan perniagaan dan kerajaan pro-perniagaan adalah pilihan cemerlang bagi pelaburan anda,” katanya.

Mengulas acara FIM 2021, Ismail Sabri berharap perjumpaan tahunan itu berupaya menarik kehadiran seramai 15,000 pengunjung serta dapat menjana potensi pelaburan bernilai kira-kira RM200 juta. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori