GEORGE TOWN – Polis mengesahkan kes tembakan yang mengorbankan tiga nyawa di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, malam tadi dianggap selesai dengan penahanan suspek yang terlibat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya menganggap kes tersebut selesai apabila suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan motif kejadian masih lagi dalam siasatan pihak polis.
“Suspek telah ditangkap dan kes kita anggap selesai tetapi motif masih dalam siasatan,” katanya.
Jelasnya, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam Khamis itu, suspek telah menembak Datuk tersebut dan menyebabkan rakan Datuk yang berada di dalam kenderaan yang sama melarikan diri.
Menurutnya, suspek mengejar dan melepaskan tembakan ke arah rakan mangsa namun tersasar serta telah terkena orang awam yang berhampiran.
Zainol berkata, suspek merupakan pengawal peribadi mangsa tetapi bukan ‘bodyguard’ dari mana-mana syarikat pengawal keselamatan.
Suspek ditahan reman tujuh hari bersama seorang lagi rakan mangsa yang juga ahli perniagaan bagi membantu siasatan.
Tiga yang maut dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Datuk Ong Teik Kwang, 32; Senthil Murugiah, 38; dan Choi Hon Ming, 32.
Tembakan rambang tersebut turut mencederakan lima orang termasuk seorang jurukamera RTM Pulau Pinang, Mohamad Amirul Amin Amir, 27; yang terkena satu das tembakan pada bahu kiri serta seorang wanita kakitangan Tenaga Nasional Berhad Bayan Baru dikenali sebagai Nurul Huda Aziz, 38.
Baca: 3 Maut, 4 Cedera Tembakan Rambang Di Pulau Pinang
Juga: Jurukamera RTM Cedera Ditembak Dilaporkan Stabil
Muhammad Amirul yang cedera di bahu kiri dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan awal pagi tadi manakala Nurul Huda ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Mangsa lain yang cedera adalah Lee Hong Boon, 56; Arivarni Krishnan, 33; dan Lim Boon Leng, 32. – MYNEWSHUB.CC