Friday, December 20, 2024

Creating liberating content

Remaja Samseng Tumbuk Warga...

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun ditangkap selepas menumbuk muka seorang warga emas hingga...

Antibodi Mereka Yang Sembuh...

PUTRAJAYA - Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mereka yang sembuh...

MH360 Ke Beijing Berpatah...

PUTRAJAYA - Penerbangan Malaysia Airlines MH360 pada 9 November yang berlepas dari Kuala...

Kisah Najib, Pahit Maung...

29 FEBRUARI yang istimewa kerana hadir sekali setiap empat tahun, turut menjadi tarikh pilihan bagi...

Keseronokan Main Dengan Kelah Di Tasik Kenyir!

KUALA BERANG – Harga sekilo ikan ini yang masih hidup boleh mencecah sehingga RM1,000 sekilogram sementara harga hidangan ikan yang sama di restoran biasanya tidak kurang daripada RM100 sekilogram.

Itulah nilai ikan kelah yang turut digelar ‘Raja Sungai’ oleh kebanyakan orang termasuk kaki pancing.

Ikan ini juga terkenal dengan kelasakannya berenang lincah di celah-celah batu dalam arus sungai yang deras, membuktikan ia sememangnya ‘raja’ ikan air tawar.

Bagi para pemancing, keseronokan ‘bertarung’ dengan kelah adalah antara pengalaman yang sentiasa diidamkan.

Kekuatan ikan kelah melawan setiap tarik dan henjut pemancing serta kebijaksanaannya menggunakan keadaan sekeliling untuk melepaskan diri daripada mata kail membuat ramai pemancing yang akhirnya terpaksa menggigit jari kepasrahan apabila tewas.

Di sebalik kehebatan sang raja, ia tidak terlepas daripada ancaman kepupusan akibat angkara manusia. Kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada keadaan ini.

SANTUARI KELAH

Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Lubuk Kejor, Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.

Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.

Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir.

Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.

Di SIK, ribuan kelah hidup bebas tanpa ancaman nafsu rakus manusia yang mahu menangkap ikan berkenaan atau merosakkan habitat mereka.

PERATURAN DEMI PERLINDUNGAN

Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu.

Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).

Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.

Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari.

Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.

Waktu lawatan bermula 9.00 pagi hingga 12 tengah hari sahaja setiap hari.

“Peraturan ini dibuat demi kebajikan ikan itu sendiri. Kita tidak mahu ia berasa tertekan dengan kehadiran terlalu ramai pengunjung. Lagi pun tempat ini sebenarnya dibuat untuk ikan-ikan itu. Kita hanyalah pelawat yang datang dan pergi tetapi ikan-ikan itu akan terus kekal di sini,” kata Mohd Fauzi Adullah dari Unit Penguatkuasaan Ketengah yang bertugas sewaktu kunjungan penulis ke SIK pada pertengahan September lepas.

Tiket ke santuari dijual pada harga RM10 bagi setiap pengunjung. Tempahan boleh dibuat melalui syarikat Kenyir Travel and Tours Sdn. Bhd. di talian 09-622 1276. Syarikat itu adalah ejen rasmi pakej pelancongan dan pengeluran permit kemasukan pelancong ke santuari ini.

BINA KEPERCAYAAN

Bagi yang mengenali kelah, pasti faham dengan sifat ikan ini yang bukan sembarangan menunjukkan diri. Bahkan bagi sesetengah pemancing air tawar, mereka sanggup meredah hutan, mendaki bukit dan berkhemah berhari-hari di tengah hutan semata-mata untuk bertentang mata dengan sang raja itu.

Jika diperhatikan betul-betul, ikan ini memang dalam kelasnya yang tersendiri. Gayanya ketika berenang dan lagaknya ketika membelah kawanan ikan benar-benar menggambarkan dirinya sebagai penguasa mutlak sungai.

Bila sahaja bertemu manusia, ia akan segera menghilangkan diri, bagaikan tidak sudi, apatah lagi mengalu-alukan kehadiran makhluk asing di wilayah jajahannya.


Namun lain pula halnya dengan ribuan kelah yang terdapat di SIK ini.

Ikan-ikan berkenaan seakan ternanti-nanti kehadiran pengunjung. Siapa sahaja yang menjejakkan kaki ke dasar sungai, pasti akan mendapat ‘ribuan ciuman’.

Berdasarkan cerita orang lama, dikatakan pada awalnya kelah memang tidak hiraukan kehadiran manusia di santuari itu. Usaha menjinakkan kelah bermula dengan cara ‘membina kepercayaan’ antara kawanan kelah dengan manusia.

Proses ini memakan masa yang amat panjang. sang kelah perlu berasa selamat walaupun dengan kehadiran manusia. Kelah perlu tahu bahawa kehadiran manusia ke santuari itu bukan satu ancaman. Manusia perlu membuktikan bahawa mereka menghormati keperluan sang kelah dalam menjalani hidup mereka secara alamiah.

Kepercayaan juga dibina dengan pemeliharaan seluruh kawasan yang menjadi habitat kelah, yang membuatkan ikan itu tidak berasa perlu berhijrah ke tempat lain meskipun ada kehadiran manusia di persekitarannya.

Pada awalnya ikan-ikan itu tidak langsung menyentuh makanan yang ditabur tetapi selepas beberapa ketika, ikan-ikan itu akan mula makan sedikit demi sedikit sehinggalah tidak takut atau segan lagi dengan tangan yang menghulurkan makanan.

KELAH JINAK

Buat penulis yang pertama kali ke santuari ini, ‘layanan’ serta ‘kemesraan’ kawanan ikan yang menyambut ketibaan para pengunjung menjadikan kunjungan ke sini satu kenangan yang tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat.

Sebaik kaki dicelup ke dalam air, ikan-ikan ini meluru datang dengan ‘menghadiahkan’ gigitan-gigitan manja. Semakin dalam penulis ditenggelami air semakin banyak yang datang. Pada saat penulis menabur palet makanan dan menenggelamkan diri, batang hidung penulis pula menjadi sasaran ‘ciuman’ raja sungai ini.

Pada mulanya, penulis sendiri gerun melihat ikan yang begitu banyak. Rasa geli pun ada juga tetapi bila sudah mula ‘kenal perangai ikan-ikan di sini, rasa takut bertukar suka, sehinggakan seakan tidak mahu keluar dari air sebab terlalu seronok bermain dengan ikan-ikan itu.

Ternyata berbaloi sungguh berjalan kaki, merentas hutan sekitar 1.7 km yang memakan masa hampir 45 minit dari jeti untuk sampai ke santuari kelah itu.

Badan yang letih kembali segar melihat keindahan alam semula jadi dengan dihiburkan kicauan burung dan suara sang cengkerik yang seolah-olah menyambut kedatangan tetamu rimba ini.

Sebelum sampai ke Lubuk Kejor, kami juga perlu melalui jambatan gantung setinggi 20 meter sejauh 112 meter yang merentasi liku sungai. Boleh dilihat kelah bermain-main di bawah jambatan bagaikan memberi semangat untuk penulis meneruskan baki perjalanan.

TAKBIR RAYA DALAM HUTAN

Perbualan singkat penulis dengan Mohd Fauzi yang terlibat secara langsung memantau kawasan sekitar SIK menghasilkan beberapa perkara menarik!

“Kami buat pemantauan dan rondaan 24 jam sehari, 365 hari setahun. Sehinggakan bertakbir hari raya dalam hutan ini sudah jadi satu perkara biasa.

“Pencuri dan penceroboh kalau nak buat kerja, hari cutilah yang mereka suka sebab ingat tiada orang yang jaga kawasan ini,” jelas Mohd Fauzi yang pernah beberapa kali menangkap penceroboh ke kawasan berkenaan.

Mohd Fauzi dan anggota penguatkuasa lain turut memantau sekiranya ada pengunjung yang mencuri tumbuhan herba seperti tongkat ali yang dikatakan banyak terdapat di kawasan berkenaan serta haiwan liar termasuk pelanduk.

Untuk mengawal kemasukan pengunjung, Ketengah menyediakan hanya satu jalan masuk dan keluar yang dikawal setiap masa untuk membuat pemerhatian dan sekiranya perlu, memeriksa pengunjung yang menimbulkan kecurigaan.

Tidak cukup dengan itu, pemantauan yang dilakukan meliputi rondaan, pemeriksaan dan sekatan jalan raya dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Meskipun tugas yang dipikul amat berat untuk menjaga kawasan yang amat luas, bagi Mohd Fauzi dan rakan-rakan setugas inilah sumbangan yang boleh mereka lakukan hari ini demi memelihara kelestarian alam untuk generasi akan datang. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • kelah

Kategori