SEKALIPUN Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lebih empat tahun meninggal dunia, namun ingatan sebilangan besar rakyat Malaysia terhadap kesederhanaan bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak pernah pudar.
Lalu, sebagai mengenang ketokohan dan pemikiran Allahyarham Nik Aziz yang juga lebih mesra disapa Tok Guru, usaha menerbitkan sebuah dokumentari mengenai pemimpin tersohor itu sedang dijalankan.
Usaha penerbitan dokumentari Nik Aziz digerakkan oleh sutradara yang juga pelakon kelahiran Kelantan, Sabri Yunus dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Dalam entri yang dimuat naik di laman web rasmi Yadim, Sabri memberitahu, bagi merealisasikan hasrat penerbitan dokumentari itu, beliau menjalankan beberapa kajian sendiri bagi mendapatkan maklumat maklumat penting berkenaan tokoh berkenaan.
“Selain membaca buku buku, menemuramah orang orang terdekat dengan beliau, saya juga menonton beberapa filem berkaitan tokoh tokoh agama yang lain,” kata Sabri seperti dilaporkan laman web Yadim pada minggu lalu.
Sabri sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Yadim, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya.
Hadir sama mewakili Yadim ialah Penasihat Media Sektor Penyelidikan dan Penerbitan Dakwah, Mohd Shauki Abd Majid.
Menurut Sabri, antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Yadim ialah bentuk penghasilan karya, jalan cerita, konsep, pulangan serta isu hak cipta.
“Usaha ini bukan mudah memandangkan Allahyarham Tok Guru adalah individu terbilang, ketokohan dan pemikirannya dipandang tinggi dalam dan luar negara.
“Namun Insya-Allah ia boleh berjaya, karya ini akan dipersembahkan secara unik dan dengan cara yang tidak pernah disentuh sebelum ini,” ujar Sabri lagi.
Dokumentari Tok Guru Nik Aziz bakal diarahkan oleh Sabri selain beliau sendiri yang akan menulis skripnya.