KUALA LUMPUR – Berikut merupakan kronologi kes penculikan seorang paderi berusia 62 tahun, Raymond Koh Keng Joo yang diculik secara terbuka pada pagi 13 Februari lalu.
Sebelum ini, Koh pernah menjadi tumpuan kontroversi pada 2011 selepas NGO disertainya, Harapan Komuniti, dituduh memurtadkan umat Islam oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), susulan serbuan di sebuah majlis kesyukuran dan pengumpulan dana makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama.
13 Februari 2017: Raymond Koh Keng Joo, 62, diculik pada pagi Isnin oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4b/10, Petaling Jaya, kurang 100 meter dari kompleks perumahan polis.
14 Februari 2017: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan Koh diculik pada jam 10 pagi dan kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda Accord dengan nombor pendaftaran ST 5515 D.
15 Februari 2017: Polis mengesahkan ia merupakan penculikan terancang membabitkan tujuh kenderaan dan 15 individu bertopeng dan dipercayai merupakan kerja daripada kumpulan yang mahir dalam mengendalikan operasi khas.
19 Februari 2018: Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai kehilangan mangsa.
20 Februari 2017: Ganjaran bagi maklumat penculikan Koh dinaikkan kepada RM100,000 selepas keluarga mangsa menerima sumbangan daripada orang ramai.
22 Februari 2017: Polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dan sebanyak lapan individu telah ditahan untuk membantu siasatan.
28 Februari 2017: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes yang masih dalam siasatan kerana dikhuatiri boleh menganggu siasatan.
29 Februari 2017: Keluarga mangsa melalui peguam meminta pihak polis memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada mereka.
2 Mac 2017:Â Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengarahkan mereka yang ditugaskan menyiasat kehilangan paderi Koh untuk memaklumkan keluarganya mengenai perkembangan terkini.
3 Mac 2017: Anak Koh, Jonathan Koh membuat satu lagi laporan polis mengatakan dia berpendapat bapanya telah mati dibunuh oleh kumpulan Islam (militan) dalam satu percubaan untuk menekan kumpulan non-muslim di negara ini.
4 Mac 2017: Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai memaparkan penculikan paderi, Raymond Koh Keng Joo pada 13 Februari lalu tersebar meluas di media sosial.
5 Mac 2017: Anaknya, Jonathan mengesahkan video itu yang kini berlegar-legar dalam talian adalah sahih dan kira-kira 300 individu berkumpul termasuk isteri Koh dan beberapa barisan pemimpin pembangkang dekat ibu pejabat polis di Shah Alam bagi memberi solariditi terhadap keluarga Koh.
6 Mac 2017: Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din menafikan khabar angin menyatakan mayat Koh ditemui. – MYNEWSHUB.CC