JIKA disebut nama penyanyi Tajul, mungkin ramai yang tidak begitu mengenai figura ini.
Namun, tahukah anda pelantun berusia 18 tahun mencipta rekodnya tersendiri apabila muzik videonya telah ditonton lebih 10 juta kali di YouTube, dalam masa tiga bulan sahaja. Luar biasa bukan?
Keistimewaan lelaki ini bukan sahaja terletak pada lagu hits pertamanya Sedalam-Dalam Rindu tetapi juga suara lunaknya yang saling tak tumpah kedengaran seperti suara arwah Achik Spin.
Maka, kemunculan Tajul sedikit sebanyak mengubat rindu para peminat terhadap allahyarham Achik Spin yang telah pun kembali ke Rahmatullah tujuh tahun lalu.
Persamaan suara mereka rupa-rupa membawa makna kerana Tajul sebenarnya adalah adik kandung kepada arwah Achik Spin.
Pada masa yang sama, Tajul menafikan yang dia sengaja meniru suara arwah abangnya atau menumpang populariti insan bernama Achik Spin.
“Sebenarnya, itu anugerah dari Tuhan. Masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Adik-beradik tak boleh lari dari suara sama.
“Mulut orang kita tak boleh nak cakap apa, tak boleh tutup.
“Sebenarnya Tajul cuba bawa identiti sendiri tapi nak buat macam mana, orang dah kenal Tajul ini adik arwah. Jadi memang tak boleh nak buat apa. Sedikit sebanyak, memang adalah ambil populariti,” katanya.
Sebelum menjadi penyanyi solo, Tajul difahamkan pernah menyanyi bersama kumpulan nasyid, Akhdan selama lima tahun. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: MediaCorp