KUALA LUMPUR – Pelantikan Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying yang juga adik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai Senator menambahkan lagi amalan kronisme dalam struktur organisasi DAP.
Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan terbaru berhubung pelantikan Senator itu juga membuktikan DAP merupakan sebuah parti anak beranak.
“Tidak cukupkah dengan Lim Kit Siang, Guan Eng dan isterinya, Betty Chew menjadi orang penting dalam parti yang sekarang ini disertai pula anak perempuan Penasihat DAP ini.
“Nepotisme berasal dari perkataan Latin nepos yang bermakna anak saudara atau cucu. Istilah mudah bahasa Melayu adalah politik anak-beranak.
“Nepotisme biasa berlaku dalam politik dengan pemimpin yang menerajui sesebuah parti akan menurunkan kepada anak beranaknya kuasa tertinggi, walaupun ada yang tidak layak untuk mendudukinya. Persoalannya di sini adakah Hui Ying layak?,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam DAP, boleh dikatakan sebahagian daripada wakil rakyatnya mempunyai pertalian darah sama ada anak dan bapa atau menantu dengan mertua.
Katanya, Lim Kit Siang pula merupakan pemimpin paling lama berkuasa dalam dunia dan beliau masih mengekalkan jawatan sejak dari awal penubuhan DAP.
“Beliau mula menjawat jawatan Setiausaha DAP pada tahun 1966. Sekurang-kurangnya Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersara pada Oktober 2003 dan cuma memegang semula jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2018,” sindirnya.
Justeru, katanya, tindakan DAP menyerang UMNO dengan tuduhan kronisme dan nepotisme selama ini sebenarnya bertujuan menutupi sikap sebenar mereka.
Malangnya, kata beliau, golongan ini yang paling lantang mengkritik amalan kronisme parti serta memperjuangkan `agenda perubahan’ atau `jom ubah’, tetapi realitinya ia merupakan sebahagian daripada budaya dan amalan mereka.
Tambah beliau, struktur kepemimpinan DAP tidak pernah melalui perubahan sebenar sejak kewujudannya pada 1966 kerana supremo parti itu masih Kit Siang dan putera mahkotanya Guan Eng walaupun jawatan berubah.
“Di mana perubahan yang anda laung-laungkan itu Kit Siang? Nepotisme berada di kedudukan tertinggi dalam DAP sehinggakan pernah penyokong parti sosialis itu mempersenda DAP sebagai sebuah syarikat sendirian berhad – DAP Sdn. Bhd.
“Justeru, jangan salahkan kritikan-kritikan itu kerana nepotisme telah menjadi sebati dalam DAP,” katanya. – MYNEWHUB.TV