TATKALA majoriti umat Islam di seluruh dunia menzahirkan kemarahan mereka atas tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis secara rasmi sebagai ibu kota Israel, lebih ramai selebriti tempatan juga tidak ketinggalan untuk menyatakan protes mereka.
BACA: Selebriti Malaysia Pertahan Kesucian Baitulmaqdis
Memilih untuk membantah tindakan Trump itu melalui media sosial, artis-artis berkenaan dilihat begitu lantang meluahkan pendapat mereka mengenai isu tersebut.
Semalam, Datuk Afdlin Shauki, yang kini berada di Mekah untuk menunaikan umrah, menulis di akaun Instagramnya: “Ini sangat salah, @google. Baitulmaqdis akan sentiasa menjadi milik Palestin!”
Mengiringi entri berkenaan, pelakon, pengarah dan produser filem itu turut menyertakan gambar Baitulmaqdis menerusi enjin carian Google yang kini menyenaraikan kota tersebut sebagai ibu negara Israel.
Penyanyi dan penulis lagu Faizal Tahir turut membantah pengiktirafan tersebut serta sempat menyindir presiden Israel iaitu Benjamin Netanyahu: “Baitulmaqdis akan sentiasa menjadi ibu kota Palestin. Sentiasa. Pergi cari ibu negara sendiri @ b.netanyahu.”
Menerusi akaun Instagram dan Twitter, pelakon Emma Maembong turut serta menyuarakan solidariti terhadap Palestin.
Tulis Emma: “Saya Emma dari Malaysia dan saya berdiri dengan PALESTIN. Seluruh dunia berdiri dengan PALESTIN.”
Pelakon, penyanyi dan tuan rumah TV Yana Samsudin menulis di akaun Instagramnya: “Berdoalah untuk al-aqsa #savepalestine #bismillahadduha.”
Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga mengirim semula entri milik penyanyi Nur Heliza Helmi di dalam akaun Instagramnya semalam, yang menyeru umat Islam di Malaysia untuk menyebarkan berita dan berusaha untuk memulihkan Baitulmaqdis melalui platform media sosial, cetak dan elektronik. -MYNEWSHUB.CC