MESKIPUN ada cerita tidak sedap didengar mengenai bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Menara CDO di Jalan Tanah Putih, Kuantan, Pahang, yang sengaja dibangkitkan oleh pembangkang, namun hakikatnya ia memberikan kemudahan dan manfaat kepada penduduk di situ, ketika berurusan dengan agensi terbabit.
Sebelum ini pelanggan terpaksa berurusan di bangunan LHDNM yang terletak di Kuantan Centre Point. Namun tidak semua perkhidmatan LHDNM boleh diperolehi di situ.
Selain itu, masalah mendapatkan tapak parkir kereta telah mengakibatkan kesesakan di bangunan lama di Centre Point.
Keadaan ini menyebabkan pelanggan merungut dan tidak berpuas hati dengan kegagalan pihak terbabit menyediakan parkir awam yang mencukupi untuk kemudahan rakyat.
Pada masa sama, mereka juga terpaksa ke tempat lain kerana bukan semua unit dan perkhidmatan LHDNM berada di bawah satu bumbung di Centre Point.
Mengambil kira ketidakselesaan dan rungutan pelanggan ketika berurusan dengan LHDNM di bangunan Centre Point itu, maka pada 2014, semua perkhidmatan LHDNM telah dipindahkan ke bangunan baru di Menara CDO.
Asas pemilihan lokasi bangunan baru itu, bukan ditetapkan oleh LHDNM sebaliknya ia dibuat oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang telah memperakukan kadar sewa dan bangunan terbabit.
Pemilihan itu pula dilakukan JPPH dengan mengambil kira banyak faktor termasuk keselesaan pelanggan di mana semua perkhidmatan diletakkan di bawah satu bangunan.
Kadar sewa pula adalah untuk ruang kosong, bayaran perabot dan pengubahsuaian termasuk penyediakan dewan bagi kegunaan orang ramai. Seramai 239 kakitangan berkhidmat di Menara CDO.
Peliknya, bangunan LHDNM di Menara CDO ini telah beroperasi sejak 2014 tetapi kenapa ia hanya dibangkitkan oleh pembangkang baru-baru ini. Semuanya kerana pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Isu bayaran sewa bangunan ini hanyalah satu modal kempen politik pembangkang yang sudah ketandusan idea untuk memburukkan kerajaan. Malah serangan demi serangan yang pembangkang cipta kini tidak laku lagi.
Kenapa ketika bangunan LHDNM itu dipindahkan pada 2014, mereka tidak membantahnya? Nampak sangat ini adalah strategi lapuk untuk sengaja mencari ruang bagi membangkitkan kemarahan orang ramai.
Tetapi pembangkang terlupa, pelanggan LHDNM berasa selesa ketika berurusan di Menara CDO kerana ia memudahkan urusan mereka.
Salah seorang pelanggan, Mohamad Abdullah berkata, sejak 2014, masalah berebut tempat letak kereta dan disaman sesuka hati seperti yang dialami di bangunan LHDNM di Centre Point tidak lagi berlaku.
“Kadang kala urusan dengan LHDNM akan mengambil masa. Memang benda libatkan duit, perlu dilakukan dengan teliti. Kalau di Centre Point, susah nak dapat tempat letak kereta. Kami terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan yang agak jauh.
“Benda ini pun telah dibangkitkan dalam media. Bila ada bangunan di Menara CDO ni, lebih selesa. Kita pun tak de la nak bergegas nak tengok kereta kena saman ke tidak,’’ katanya.
Apa yang menariknya, bangunan LHDNM di Menara CDO ini lebih cantik dan sesuai dengan imej agensi terbabit. Dengan keluasan 203,455.45 kps berbanding, 53,085.77 kps di Centre Point, maka ia menjadikan bangunan LHDNM Pahang setaraf dengan negeri-negeri lain.
Sesuai dengan slogan LHDNM iaitu Bersama Membangun Negara, maka perkhidmatan yang ditawarkan adalah berteraskan integriti dengan komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. – MYNEWSHUB.CC