KESIBUKAN rutin harian menjadikan rata-rata daripada kita selalu tak sempat untuk menguruskan diri terutamanya memasak makanan segar di rumah.
Akhirnya, kita cuma memasak makanan segera yang disejuk beku sahaja seperti nugget, ayam goreng dan daging burger, atau pun makanan dalam tin seperti kari ayam, sardin dan juga sambal ikan bilis.
‘Kena’ pula dengan telur goreng dan kicap manis. Fuh, leleh habis!
Namun pernahkah kita bertanya diri kita sendiri tentang tahap keselamatan dan kebersihan sesebuah produk makanan itu?
Haaa, sebab itulah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan MesTI! Apa MeSTI tu?
MeSTI merupakan salah satu Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) oleh KKM untuk membantu pengusaha produk makanan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menghasilkan produk yang bersih dan selamat untuk pengguna.
Dengan adanya logo MeSTI, sudah tentu pelanggan akan bertambah yakin dengan produk jualan anda dan perniagaan anda juga akan menjadi semakin laris! Wah, masyuk!
Sebagai rujukan anda, berikut adalah faedah-faedah yang boleh anda perolehi jika mendapat pensijilan MeSTI:
1. Pensijilan dan bimbingan adalah PERCUMA.
2. Tempoh sah pensijilan selama tiga tahun.
3. Memudahkan proses permohonan pensijilan halal (JAKIM).
4. Dapat meluaskan pasaran perniagaan termasuk di rangkaian Kedai Rakyat Giant, Pasaraya Eon, 1Malaysia (KR1M), COOP1M dan beberapa pasar raya besar yang mewajibkan ada sijil MeSTI.
5. Mempercepatkan pengeluaran sijil pengeksportan seperti Sijil Penjualan Bebas (Free Sale Certificate) dalam tempoh satu hari TANPA dokumen tambahan.
6. Logo MeSTI pada label produk makanan dapat menyakinkan pengguna terhadap keselamatan makanan produk tersebut.
7. Memenuhi keperluan perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Mudah sahaja cara untuk memohon sijil MeSTI. Pertama, anda perlulah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan juga KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan melalui fosimdomestic.moh.gov.my.
Kemudian, anda perlu memohon secara online melalui FoSIM Domestik fosimdomestic.moh.gov.my ATAU muat turun borang permohonan dari fsq.moh.gov.my, isi dan hantar ke Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan premis masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari fsq.moh.gov.my dan Facebook @BKKMHQ atau hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC