“ALHAMDULILLAH keadaan isteri dan anak dalam kandungannya sihat. Namun saya sendiri kadang-kadang terasa loya dan muntah.”
Itulah situasi yang dialami oleh pelakon Saharul Ridzwan yang bakal bergelar bapa setelah mendiri rumah tangga bersama Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir.
Difahamkan isteri Saharul kini di fasa trisemester pertama berusia empat bulan.
Pun begitu, menurut Saharul, meskipun dia mengalami loya dan muntah namun segalanya masih berada dalam situasi terkawal.
Dalam pada itu, hero Love You Mr Arrogant itu berasa bersyukur kerana isteri tercinta memahami tuntutan kerjanya, namun Saharul memilih untuk tidak berjauhan dengan Deena.
“Saya bersyukur kerana isteri memahami cara kerja saya yang terpaksa menjalani pengambaran dalam tempoh yang lama.
“Namun sebagai suami, saya memilih untuk tidak terlibat dengan pengambaran di lokasi yang jauh hingga terpaksa meninggalkan isteri keseorangan di rumah,” katanya kepada Mstar online.
Tambah pasangan ini lagi, mereka tidak kisah akan jantina anak yang bakal lahir, apa yang penting dia lahir dengan sihat dan sempurna.
“Kami berdoa agar anak yang bakal lahir nanti sihat dan cukup sifat serta membesar menjadi anak yang soleh,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Mstar Online