MEMANG kelaziman setiap kali sambutan hari raya Aidilfitri pelbagai sajian makanan tradisi pasti menjadi pilihan hidangan setiap lapisan masyarakat tempatan dan antaranya ialah dodol.
Jika diamati, penyediaan makanan tradisi mengandungi santan dan minyak kelapa ini sekali gus membuatkan ramai bimbang untuk menikmati dodol kerana dikatakan konon berlemak yang menyumbang kepada pelbagai penyakit.
Bagaimanapun menurut Konsultan Perubatan Estetik Penuaan Sihat dan Perubatan Regeneratif, Dr. Norman Mohd. Norawi, imej santan atau minyak kelapa selama ini kerap disalah erti sebagai bahan yang menyebabkan penyakit.
Ini kerana ia didakwa mengandungi kandungan lemak tepu tinggi dan dikaitkan dengan masalah kolesterol walhal minyak tepu jenis Medium Chain Triglyceride (MCT) seperti minyak kelapa atau santan sebenarnya banyak faedah.
“Ia dapat bantu dalam mengurangkan risiko penyakit jantung. Kajian terbaru menunjukkan bukan semua lemak tepu adalah sama dan berbahaya, kerana ia mempunyai banyak pecahan dan jenisnya,” katanya kepada Bernama.
Jelas Dr. Norman lagi, santan atau minyak kelapa dalam penyediaan dodol secara tradisional sebenarnya hanya mengandungi lemak tepu laurik dan asid lemak miristik yang sebetulnya adalah masih sihat untuk tubuh badan.
“Asid lemak laurik bersifat antikeradangan serta amat penting bagi mencegah permasalahan atherosclerosis (pengerasan saluran darah) yang menjadi punca kepada masalah penyakit kardiovaskular atau jantung,” katanya.
Untuk rekod, MCT yang terdapat dalam dodol juga adalah suatu sumber tenaga segera amat baik yang akan dicernakan oleh usus dengan cepat selain dapat membekalkan tenaga segera kepada tubuh badan manusia.
“Ini akan menyebabkan paras insulin menjadi rendah, sekali gus membantu dalam usaha menghilangkan masalah kebuncitan dan menurunkan berat badan kerana menyebabkan seseorang berasa kurang lapar,” kata Dr. Norman.
Pendapat sama turut disuarakan oleh pakar kesihatan dan ahli sains terkemuka dari Barat seperti Prof. Philippe Legrand dan Dr. Bruce Fife menerusi buku tulisan mereka berdua yang bertajuk ‘The Coconut Oil Miracle‘.
Menurut Legrand dari Perancis, bahan dalam santan atau minyak kelapa iaitu asid laurik dan asid miristik ialah kumpulan asid lemak rantaian sederhana (MCFA), yang lebih cepat dimetabolismakan dalam hati manusia.
Ini dapat menurunkan paras kolesterol. Dua bahan itu juga ada kesan positif lain seperti antikeradangan, antifungal, antivirus, antimikrobial dan antiprotozoa selain menjadi sebahagian diet sihat jika diambil secara sederhana.
Dr. Norman dalam pada itu berkata, kelebihan santan dan minyak kelapa juga terbukti menerusi laporan Philippine National Nutrition Survey pada tahun 2003 berdasarkan kajian terhadap penduduk di Daerah Bicol, Filipina,
Kajian mendapati pengambilan dua bahan itu dalam makanan seharian menyebabkan mereka kurang menghadapi masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi, angin ahmar dan sakit jantung (angina).
Sementara itu, kajian tempatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap minyak kelapa dara yang dihasilkan oleh pihak Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menunjukkan keputusan positif.
Minyak itu yang berasal daripada kelapa tidak menyebabkan peningkatan paras kolesterol ‘jahat’ malah menambah paras kolesterol baik sekali gus menjadikan masyarakat dahulu makan dodol tidak pula hadapi masalah kesihatan.
Berdasarkan itu juga, muncul produk Minyak Kelapa Dara (VCO) yang dipromosikan sebagai minyak kesihatan. Kesimpulannya, dodol bukan sahaja enak dimakan, bahkan sihat untuk tubuh badan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA