HALANG… Hasrat Firefly Sdn. Bhd., anak syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) pindah operasi pendaratan dan perlepasan di Singapura disekat Penguasa Penerbangaan Awam Malaysia (CAAM).
Ini mengakibatkan syarikat ditubuhkan sejak 2007 itu gagal dapat kebenaran CAAM untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, menurut laporan media Singapura hari ini.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dilaporkan keluar kenyataan itu sebagai jawab pertanyaan media ekoran Firefly mengesahkan awal minggu ini bahawa penerbangannya ke Singapura digantung mulai 1 Disember.
Syarikat tersebut menyatakan bahawa ia perlu selesaikan dengan pihak CAAM terlebih dahulu mengenai “hal-hal berkaitan rancangan CAAS untuk memindahkan operasi pesawat kipas turbo dari terminal di Changi ke Seletar”.
Untuk rekod, terminal penumpang komersial yang baharu di Seletar, kira-kira 16 kilometer dari Changi; mula beroperasi minggu lalu dengan penerbangan pesawat kipas turbo dijadual beroperasi mulai awal bulan depan.
Changi Airport Group (CAG), sebuah agensi milik pemerintah republik itu menyatakan bahawa pemindahan “operasi pesawat lebih kecil dan perlahan” ke Seletar akan membolehkan penggunaan optimum sumber di Changi.
Mendedahkan urutan masa berhubung hal tersebut, CAAS menyatakan pada 2014, pihaknya sudah memaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Firefly tentang pemindahan operasi penerbangan pesawat kipas turbo.
Pada dasarnya, Firefly sudah setuju dengan pemindahan itu dan menurut CAAS “sebagaimana setiap pemindahan operasi penerbangan lain, CAG kemudian berunding pula dengan Firefly tentang tempoh masa pemindahan.”
Pada Julai 2018, CAG secara formal memaklumkan Firefly bahawa operasi penerbangannya akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Seletar mulai 1 Disember 2018 dan menurut CAAS, perkara ini dipersetujui oleh Firefly.
Namun pada 14 November lalu, Firefly maklum CAG bahawa ia tidak dapat izin rasmi CAAM untuk beroperasi di Seletar. CAAS menyatakan pihaknya sudah minta CAAM untuk kongsi sebarang isu pengawalseliaan pemindahan.
Malah CAAS menambah bahawa pihak berkuasa Singapura sudah pun membuat “semua persiapan dan meluluskan semua permohonan” oleh Firefly yang memiliki 13 buah pesawat model ATR 72 untuk beroperasi di Seletar.
Menurut CAAS lagi, lapangan terbang itu juga memenuhi keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa berhubung reka bentuk dan operasi terminal yang asalnya merupakan Pangkalan Tentera Udara Singapura.
Pihak Singapura ketika ini masih lagi menantikan penjelasan rasmi daripada kerajaan Malaysia tentang keprihatinan ini supaya kedua-dua negara boleh mengadakan dialog secara membina, menurut CAAS.
“Singapura sudah sampaikan kepada Malaysia bahawa kami sedia bekerjasama dengan mereka berkaitan isu ruang udara bagi kepentingan penerbangan awam antarabangsa dan dua hala,” tambahnya lagi. – Agensi/Mynewshub.TV