SEMALAM Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, selain Petron (milik Mirzan Mahathir), Shell juga dilantik sebagai pembekal petrol dan diesel kepada kenderaan kerajaan Persekutuan.
Alasannya ialah untuk mewujudkan harga yang kompetitif. Persoalannya kenapa tidak diberikan kepada Petronas sahaja. Sepatutnya Petronas diberi keutamaan. Ia malahan adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sendiri.
Petronas selamanya berjaya memberikan hasil dan dividen kepada pihak kerajaan. Menambah satu lagi syarikat kroni sebagai pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan menyebabkan hasil Petronas semakin kurang.
Sedangkan Tun Mahathir Mohamad semasa membangunkan KLCC dan litar F1 dulu pun gunakan duit Petronas. Sebelum ini saya mencadangkan tagline untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah “Munafik & Nepotisme”.
Saya juga mengatakan Tun M ada sindrom ISA (Ikut Suka Aku). Kes terbaru ini membuktikan Menteri Kabinet ketandusan moral integriti manakala Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) merestui kroni kapitalisme bermaharajalela.
Bagaimana Petron antara yang terpilih? Apatah lagi Tun M baru tiga bulan jadi PM buat kali kedua. Itu melibatkan syarikat anaknya sendiri. Bahkan semalam harga saham Petron tiba-tiba boleh naik memuncak 80 sen.
Baca: Anak Tun M Bekal Petrol Kenderaan Kerajaan?
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar masuk menyiasat. Tindakan terbaharu kerajaan PH ini sebenarnya mencabar kecerdikan rakyat yang konon bakal dijanjikan ketelusan dan menolak nepotisme.
Kes terbaharu ini jelas umpama rompakan di siang hari. Beberapa hari selepas PRU 14, OPCOM Holding (Mokhzani Mahathir adalah Pengerusi/CEO) dapat kontrak tender daripada Telekom Malaysia bernilai RM11.6 Juta.
Apakah selepas ini Marina Mahathir pula dapat kontrak Kerajaan PH yang diketuai bapanya itu. Apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat untuk tolak amalan buruk pentadbiran PH ini? Terbaik ialah “boikot minyak Petron”.
Lagi pun Petron bermula melalui sebuah syarikat “arak” terbesar di Filipina iaitu San Miguel Corporation. Dulu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sendiri pernah begitu lantang mencadangkan kempen boikot minyak Petron.
Manakala Awnar pula pembidas kuat penguasaan syarikat arak tersebut yang membeli Esso dan Mobil sebelum ditukar kepada Petron. Ayuh boikot Petron sebagai tanda kita bantah nepotisme. Ayuh #Boikot Petron.
Mohd Puad Zarkashi
31.8.2018