Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
SUASANA di Kem Tambun, Ipoh pagi itu kecoh apabila dimaklumkan platun nombor 9 Batalion Ketiga Rejimen Renjer telah bertempur dengan pengganas komunis di Hutan Simpan Bukit Kinta, berhampiran Sungai Siput, Perak ketika melaksanakan Operasi Gonzales.
Sebaik berita itu sampai ke telinga anggota terup nombor 9, Skuadron Z Rejimen Gerak Khas (RGK) yang berada di situ, mereka lantas bersiap untuk melaksanakan operasi susulan untuk memburu musuh terbabit.
Tepat pukul 12 tengah hari tanggal 18 April 1974, 32 anggota skuadron tersebut yang diketuai oleh Leftenan Zainal Abidin Hussi diterbangkan menggunakan dua buah helikopter Nuri ke kawasan pertempuran.
Mereka dibantu oleh satu pasukan kombat dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) termasuk anjing pengesan bernama Ben yang dikendalikan oleh Sarjan Chandan ak Gaing dan Koperal Osman Awang.
Turut serta dalam pasukan itu ialah Truper Md. Ali Ahmad, yang ketika itu berusia 23 tahun dan baru dua tahun menyertai pasukan elit berkenaan.
Ketika dalam penerbangan, kesemua anggota terbabit tidak banyak bercakap. Mereka lebih suka melayan perasaan masing-masing.
Tiba di kawasan pendaratan yang ditetapkan berhampiran sebuah bukit, kesemua anggota skuadron tersebut dikehendaki terjun dari helikopter menggunakan teknik ’abseiling’ pada ketinggian kira-kira enam meter.
”Ketika baru beberapa anggota turun kami terdengar bunyi tembakan.
”Dalam hati saya berkata, sah musuh sedang menanti kami,” katanya.
Sebaik tiba gillirannya untuk turun, Md. Ali tidak menggunakan tali sebaliknya terus terjun dari pesawat dan kemudiannya mencari perlindungan.
Beliau turut mencari-cari kawasan musuh bersembunyi tetapi hampa.
Bahkan mereka tidak sempat memberikan tembakan balas untuk menggempur musuh.
”Kami langsung tidak tahu dari mana tembakan dilepaskan. Selepas helikopter berlalu, tiada tembakan yang didengar.
”Waktu itu musuh telah lari dan kerana itu kami mengatur strategi untuk memburu mereka,” katanya.
Serang Hendap
Selepas yakin musuh telah tiada, seorang demi seorang bangun untuk meninjau kawasan sekelilling. Baru beberapa langkah bergerak, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh suara rakan yang menjerit: ”Jerangkap samar!”
Anggota terbabit ternampak beberapa wayar merintang di kawasan tersebut. Selepas diteliti ia tidak disambung ke mana-mana jerangkap samar, sebaliknya hanya helah musuh untuk menakutkan mereka yang diketahui akan mendarat di situ.
Tidak lama selepas mendarat, mereka dimaklumkan gerombolan musuh yang diburu telah bertempur pula dengan satu pasukan ronda dari Battalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD). Sebaik fajar menyingsing pada keesokan harinya, terup tersebut meneruskan penjejakan dan kemudiannya bercantum dengan satu platun dari 5 RAMD.
Selepas makan tengah hari mereka mula melancarkan gerakan dengan didahului oleh Ben.
Sepanjang perjalanan banyak jerangkap samar yang ditemui.
Sebahagian daripadanya tidak dipasang dengan teliti, mungkin kerana kesuntukan masa selepas diburu pasukan keselamatan.
Selepas melepasi kawasan jerangkap samar tersebut, semakin banyak jejak musuh yang ditemui termasuk lorong yang dialui oleh musuh yang dipercayai seramai 25 hingga 30 orang.
Pada lewat petang, mereka akhirnya sampai ke satu kawasan kaki bukit yang mempunyai dua lorong. Disebabkan itu, Zainal Abidin memecahkan terup kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diketuainya sendiri, manakala satu lagi diketuai oleh Leftenan Muda M. Anuwa Mohamad Daud.
Md. Ali menyertai kumpualan Zainal Abidin yang akan melalui satu kawasan lereng bukit manakala kumpulan satu lagi bergerak terus mengikuti permatang dan mereka dijangka berjumpa semula di atas bukit untuk bermalam.
Pergerakan kumpulan Zainal Abidin didahului oleh seorang anggota Orang Asli, Prebet Mat Amin. Setelah melalui lorong tinggalan musuh buat beberapa ketika, mereka akhirnya sampai ke satu anak air.
Ketika Md. Ali baru melangkah untuk melintasi kawasan itu, tiba-tiba mereka dihujani tembakan dari atas bukit sebelah kanan mereka. Salah satu tembakan musuh telah mengenai Mat Amin.
”Masa itu apa yang saya tahu kami telah memasuki kawasan serang hendap musuh. Jika lambat bertindak pasti kami semua akan mati,” katanya.
Sewaktu sibuk mencari tempat berlindung, entah macam mana Zainal Abidin telah tercedera setelah lututnya terhentak batu menyebabkannya sukar untuk bergerak.
Selepas membantu ketua terup itu mencari tempat berlindung, Md. Ali dengan berani bergerak ke hadapan sambil melepas tembakan M-16 ke arah kedudukan musuh dengan dibantu oleh rakan-rakan yang lain.
Dalam keadan cemas itu, tiba-tiba kedengaran Ben melolong akibat terkena dua das tembakan pengganas dan akhirnya mati dalam dakapan Chandan.
Melihat itu, hati Md. Ali semakin geram. Berbekalkan pengalaman bertempur di Sibu, Sarawak setahun sebelum itu, beliau terus mara ke atas bukit dengan lebih pantas tanpa menghiraukan tembakan musuh ke arahnya.
Satu ketika, Md. Ali memanjat tebing curam seorang diri untuk memastikan beliau berjaya berada di atas bukit untuk membolehkannya melihat musuh dengan lebih jelas.
”Sewaktu itulah saya terserempak seorang musuh yang hendak melemparkan bom tangan ke arah rakan saya, tiga meter di depan saya.
”Melihat itu, saya terus melepaskan tembakan semburan dari senjata saya, tepat mengenai kepalanya,” terang beliau.
Sebelum itu musuh ada juga melemparkan beberapa butir bom tangan tetapi anehnya semuanya tidak meletup. Selepas musuh pertama berjaya ditumpaskan, Md. Ali terus mara dan ternampak lagi seorang musuh lalu ditembaknya.
”Musuh itu akhirnya mati juga selepas ditembak oleh dia dan beberapa rakan yang lain,” katanya.
Sewaktu itulah saya terserempak seorang musuh yang hendak melemparkan bom tangan ke arah rakan saya, tiga meter di depan saya. Melihat itu, saya terus melepaskan tembakan semburan dari senjata saya, tepat mengenai kepalanya.
Melihat dua rakan mereka telah mati, ketua musuh mengarahkan pasukan mereka berundur. Ketika itu juga, salah seorang daripada mereka telah bertembung dengan kumpulan Anuwa dan berjaya ditembak mati oleh Koperal Zaki Nordin.
Bagaimanapun, dalam keadaan kelam-kabut itu, Truper Abu Kasim telah cedera terkena sedas tembakan musuh.
”Kemudian musuh didapati berlari menuju satu lereng curam dan bertindak terjun ke satu kawasan gaung untuk menyelamatkan diri.
”Saya dengar banyak bunyi benda terhempas, tak tahulah sama ada musuh terjatuh atau barang yang terhempas,” katanya.
Biarpun begitu, seksyen yang diketuai oleh Sarjan Rahmat Suratman sempat menembak ke arah dua orang musuh sehingga cedera sebelum mereka hilang di celah-celah pokok di dalam gaung.
Sewaktu penggeledahan dilakukan, mereka kemudiannya menemui 20 beg galas musuh berisi pakaian, ubat-ubatan dan makanan. Di samping itu ialah dua laras senjata iaitu sepucuk senjata automatik ’Thompson Submachine Gun Point 45’ model 1928 dengan tiga kelopak dan 65 butir peluru serta sepucuk Stand Gun bersama dua kelopak.
Turut dijumpai 161 butir peluru 9 mm dan 30 butir peluru point 22, beberapa butir bom tangan serta tiga mayat musuh.
Bermalam Dengan Mayat
Malam itu, anggota terup tersebut terpaksa bermalam dengan mayat musuh sebelum menyambung tugas penjejakan selama seminggu di situ mulai esoknya. Namun musuh gagal ditemui. Sekembalinya anggota terup itu ke Kem Tambun, mereka disambut oleh Pegawai Memerintah RGK, Leftenan Kolonel Borhan Ahmad.
”Dua perkara yang tidak boleh saya lupakan ketika itu ialah kata-kata penghargaan Borhan yang mengatakan saya adalah hero beliau kerana menewaskan musuh selepas diserang hendap. Amat jarang kejayaan seumpama itu diperoleh oleh pasukan keselamatan.
”Selain itu ialah kerana saya tidak lalu makan selama seminggu selepas asyik terbayangkan rupa dan bau hanyir otak musuh yang berkecai selepas ditembak,” kata anak jati Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Melaka ini.
Ekoran kejayaan tersebut juga, Md. Ali dan Zaki dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 5 Jun 1974 iaitu dua bulan selepas pertempuran tersebut.
Apa yang membanggakan ialah penganugerahan itu menjadikan Md. Ali sebagai anggota komando termuda menerima pingat tersebut iaitu pada usia 23 tahun.
Tiga tahun kemudian beliau bertukar ke Cawangan Penyiasatan Khas, Kor Polis Tentera sehinggalah menamatkan perkhidmatan pada tahun 1991 degan pangkat Staf Sarjan.
Kini, pada usia 52 tahun, Md. Ali menghabiskan sisa-sisa usianya dengan melakukan kerja-kerja kampung di Merlimau. – MYNEWSHUB.CC
*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.