LONDON – Menara jam besar mercu tanda ibu kota Britain, Big Ben bakal senyap selama empat tahun mulai minggu depan ekoran kerja pemuliharaan dijalankan ke atas jam loceng terkenal itu.
Menurut laporan media tempatan, bangunan ikonik abad ke-19 itu yang terletak berhampiran Dewan Parlimen di sini akan hilang bunyi detik jam buat julung kali dalam sejarah 157 tahun menara tersebut mula beroperasi.
“Big Ben akan senyap adalah satu sejarah penting dalam projek pemuliharaan bangunan warisan,” kata Steve Jaggs yang gelaran rasminya ialah ‘Keeper of the Great Clock’ menerusi satu kenyataan media di Parlimen semalam.
“Program-program berkaitan kerja penting ini akan melindungi fungsi utama jam dalam jangka masa yang lebih panjang dan juga melindungi serta memelihara tempatnya sendiri – Menara Ratu Elizabeth,” kata beliau lagi.
Ia akan menjadi tempoh paling lama bagi Big Ben, yang bunyinya amat biasa kepada orang ramai di seluruh dunia kerana digunakan dalam siaran stesen radio dan televisyen BBC, apabila disenyapkan sejak hampir dua abad.
The Great Bell, atau lazim dikenali dengan panggilan Big Ben, mempunyai berat 13.7 tan dan sentiasa berbunyi setiap jam tanpa gagal walau sekali pun dengan loceng kecil model E-Four juga berdenting setiap 15 minit.
Dentingan terakhir sebelum kerja-kerja pemuliharaan bermula dijangka dilaksanakan tepat jam 12 tengah hari waktu tempatan pada 21 Ogos (atau pukul 8 malam waktu Malaysia) depan, menurut kenyataan tersebut lagi.
Jam itu bagaimanapun akan tetap memaklumkan masa dalam nada lebih senyap sehinggalan pada tahun 2021 dan bunyi loceng juga akan terus berdenting pada hari-hari penting seperti menjelang detik tahun baru Masihi.
Menara Ratu Elizabeth yang mempunyai ketinggian 96 meter, ketika ini merupakan bangunan paling banyak dirakamkan gambarnya di Britain terutama dalam kalangan pelancong asing. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA